Ikuti Kami:

Wany Hasrita Terbit ‘Lembayung Tari’, Gandingan Hael Husaini, Iqie Hugh

Wany Hasrita Terbit ‘Lembayung Tari’, Gandingan Hael Husaini, Iqie Hugh

Penyanyi popular Wany Hasrita kembali mewarnai industri muzik tanah air dengan naskhah terbaharu berjudul ‘Lembayung Tari’, sebuah karya bergenre Pop Etnik yang menyatukan elemen tradisional dan moden.

Single terbitan Wany Hasrita Entertainment dengan kerjasama Maison Management ini mendapat sentuhan kreatif daripada komposer tersohor, Hael Husaini dan Iqie Hugh.

Wany, atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah, berkata karya kali ini menampilkan kelainan buat para peminatnya kerana ia sarat dengan elemen magis serta susunan muzik yang lebih segar.

“Lembayung Tari merupakan sebuah karya yang cukup dekat di hati saya. Ia memberi ruang untuk pendengar ‘berhenti seketika’ daripada kesibukan hidup dan menikmati keindahan rasa melalui muzik dan seni gerak,” katanya dalam satu sidang media di Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, lagu berkenaan membawa elemen etnik kontemporari dengan suntikan misteri, manakala liriknya bersifat puitis yang menggambarkan detik peralihan cahaya senja sebagai simbolik ketenangan dan penyembuhan jiwa.

Susunan muzik oleh Iqie Hugh pula memberi penekanan kepada metafora tarian dan lembayung cahaya, sekali gus membuktikan seni mampu menjadi bahasa perasaan tanpa perlu kata-kata.

Diedarkan oleh Universal Music Malaysia, ‘Lembayung Tari’ kini boleh didapati di semua platform penstriman digital utama seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music bermula 6 Februari lalu.

Komen
Loading...