Wany Hasrita Kembali dengan “Raya Telah Tiba”, Lagu Raya Rancak dan Menghiburkan!
- oleh Mohd Indera
- 6 hari lalu

Penyanyi pop terkenal tanah air, Wany Hasrita, kembali dengan single Raya terbaharunya yang berjudul Raya Telah Tiba.
Lagu ini diterbitkan di bawah naungan Sony Music Malaysia dan hadir dengan sentuhan muzik yang lebih segar, rancak, dan menghiburkan, berbeza dengan lagu-lagu Raya sebelumnya.
Dicipta oleh komposer muda Affan Mazlan, Raya Telah Tiba menggabungkan elemen pop moden dengan sentuhan Melayu klasik serta elemen rock, menjadikan lagu ini unik dan mudah diingati.
Lagu ini menggambarkan kemeriahan sambutan Hari Raya, dari kesibukan membuat persiapan pulang ke kampung hingga detik menggembirakan berkumpul bersama keluarga.
“Lagu ini sangat ‘straightforward’, ia bercerita tentang perkara yang kita lalui setiap kali perayaan. Dari berpuasa penuh, persiapan pulang ke kampung, tergesa-gesa hendak sampai ke destinasi, sehinggalah keterujaan hendak ‘ber-OOTD’ dengan baju Raya yang cantik,” kata Wany Hasrita mengenai konsep lagu ini.
Proses rakaman lagu ini berlangsung dengan lancar dan hanya mengambil masa sekitar satu hingga dua jam sahaja, menunjukkan keserasian Wany dengan lagu ini sejak kali pertama mendengarnya.
Untuk melengkapkan pengalaman peminat, sebuah video muzik (MV) turut dihasilkan dengan menampilkan suasana kampung yang penuh keceriaan dan pelbagai babak menarik.
Antara babak yang pasti mencuit hati dalam MV ini termasuklah adegan persiapan sibuk mengemas rumah, insiden dikenakan saman trafik, serta tarian khas Raya yang dijangka bakal menjadi trend di media sosial.
Tahun ini lebih istimewa bagi Wany kerana dapat meraikan Aidilfitri buat kali pertama bersama puteri sulungnya, Aishah Al Iman.
“Tahun lalu saya hanya beraya ketika sedang hamil, tetapi tahun ini lebih bermakna kerana dapat menyambutnya bersama suami dan anak tersayang,” kongsi Wany penuh syukur.
Melalui Raya Telah Tiba, Wany berharap lagu ini akan menjadi salah satu lagu wajib dalam playlist peminat sepanjang musim perayaan, terutamanya buat mereka yang sedang dalam perjalanan pulang ke kampung halaman.
“Semoga lagu ini menjadi peneman ketika dalam perjalanan balik kampung. Tapi, jangan terlalu leka sampai terkena saman!” selorohnya.
Single Raya Telah Tiba bakal dilancarkan secara rasmi pada 7 Mac 2025 dan boleh didengari di semua platform penstriman digital utama seperti Apple Music, Spotify, dan YouTube. Para peminat juga boleh menantikan pelancaran MV rasmi yang dijangka akan mendapat sambutan hangat.
Sebagai penutup, Wany turut mengingatkan peminat agar memperbanyakkan ibadah sepanjang Ramadan dan menyambut Syawal dengan penuh keberkatan serta kegembiraan bersama keluarga.
Dengan irama yang segar dan lirik yang mencuit hati, Raya Telah Tiba dijangka bakal menjadi salah satu lagu pilihan utama untuk musim perayaan ini!