Ikuti Kami:

Wanns Ahmad Dedah Kisah Pengorbanan Wanita dalam “Bulanku”, Dibintangi Amyra Rosli

Wanns Ahmad Dedah Kisah Pengorbanan Wanita dalam “Bulanku”, Dibintangi Amyra Rosli

Menyusul kejayaan lebih 1.2 juta tontonan menerusi video lirik di YouTube, penyanyi dan komposer berbakat, Wanns Ahmad, hari ini melancarkan video muzik rasmi lagu “Bulanku” yang mengetengahkan kisah pengorbanan wanita dari kaca matanya sendiri.

Menariknya, karya penuh emosi ini turut menampilkan pelakon versatil tanah air, Amyra Rosli, yang memegang watak utama sebagai wanita tabah yang sanggup berkorban demi insan tersayang.

Menurut Wanns, “Bulanku” merupakan luahan peribadi yang ditulis dengan sepenuh hati, hasil daripada penghargaan terhadap wanita yang banyak berkorban tanpa mengharapkan balasan.

“Bulanku adalah tentang seorang wanita yang tak pernah meminta, tapi memberi segalanya. Saya tulis lagu ini dengan penuh rasa, sebab saya percaya setiap daripada kita pasti ada satu figura wanita dalam hidup yang banyak berkorban — sama ada ibu, isteri, nenek atau kakak,” katanya ketika ditemui pada pelancaran video muzik di Kuala Lumpur hari ini.

Sebagai pengarah sendiri bagi video muzik tersebut, Wanns berkata penceritaan visual yang diangkat bukan sekadar pelengkap lagu, sebaliknya sebagai penghormatan kepada seluruh wanita yang sering menyembunyikan duka demi senyum insan tercinta.

“Visual ini saya rangka dengan penuh teliti agar penonton benar-benar dapat merasai denyut nadi pengorbanan seorang wanita. Ia bukan sekadar cerita, tapi pengalaman yang ramai boleh kaitkan,” jelasnya.

Pemilihan Amyra Rosli sebagai watak utama turut menjadi kekuatan video muzik ini. Lakonan penuh penghayatan beliau menghidupkan watak wanita yang menyimpan seribu rasa dalam diam.

“Saya sangat terharu bila Amyra bersetuju untuk terlibat. Dia bukan saja membawa watak itu dengan baik, tapi turut menyampaikan emosi yang saya cuba gambarkan ketika menulis lagu ini,” tambah Wanns yang sebelum ini dikenali melalui lagu-lagu seperti “Syayangku” dan “Terus Mencintaimu”.

“Bulanku” menandakan kemunculan semula Wanns dalam dunia muzik dengan pendekatan yang lebih matang dari segi penyampaian dan tema.

Dengan pelancaran video muzik rasmi ini, “Bulanku” dijangka terus mengukuhkan kedudukan Wanns sebagai penyanyi dan penulis lirik yang bukan sekadar bercerita, tetapi menyentuh hati pendengar.

Foto Oleh: Papadin.

Komen
Loading...