ALOR SETAR: Seorang wanita berusia 26 tahun menangis teresak-esak selepas ditahan polis kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam pemeriksaan mengejut di Jalan Alor Mengkudu, di sini, malam tadi.
Wanita terbabit pada mulanya menyangka hanya akan dikenakan kompaun atas pelanggaran PKP namun menangis sebaik anggota polis menahannya dan memaklumkan akan membawanya ke balai polis.
Dalam operasi bermula jam 9 malam itu, polis menahan lapan individu berusia 30 hingga 38 tahun.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, pihaknya tidak menerima sebarang alasan kerana PKP sudah memasuki Fasa Tiga kecuali mereka yang mempunyai dokumen kebenaran pengecualian.
Beliau berkata, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 38 tahun termasuk seorang wanita dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan Peraturan 3 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.
“Hasil pemeriksaan mendapati seorang dari yang ditahan berusia 34 tahun mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah.
“Lelaki berasal dari Pendang itu sebelum ini pernah ditahan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana menyimpan dan memiliki barang curi,” katanya.
Mohd Rozi berkata, pemeriksaan mengejut itu disertai seorang pegawai, 15 anggota dan empat anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari Balai Polis Alor Setar.
Sumber : Berita Harian