Wanita Kecewa Komponen ‘Back Axle’ Putus Tiba-tiba Ketika Selekoh
- oleh Mohd Indera
- 8 bulan lalu
SEORANG wanita meluahkan kekecewaannya selepas satu daripada komponen kereta yang dipandunya mengalami kerosakan secara tiba-tiba.
Menerusi hantaran dimuat naik di Facebook individu bernama Stephanie pada Ahad, kerosakan tersebut berlaku pada gandar belakang kereta jenama Chery Malaysia.
Menurutnya, keadaan itu juga menimbulkan situasi cemas buat dia dan tiga rakannya yang berada di dalam kereta tersebut ketika melalui selekoh jalan.
“Nasib baik situasi ini berlaku ketika saya memandu perlahan melalui selekoh, bayangkan jika kereta ini dipandu laju di lebuh raya.
“Selain itu, mengapa ia kelihatan seperti hanya terdapat dua mata kimpalan dan bukannya sepanjang kawasan (yang putus) itu. Ia kelihatan seperti karat yang menghakis dan menyebabkan jatuh secara spontan.
“Tetapi, saya bukan pakar kereta jadi saya tak akan buat spekulasi lebih lanjut,” tulisnya yang menuntut penjelasan lanjut daripada Chery Malaysia.
Berdasarkan beberapa gambar yang dikongsikannya, keretanya ketika itu masih dalam keadaan baik kecuali gandar terbabit.
Stephanie kemudiannya memberitahu bahawa keretanya sudah dibawa ke pusat servis di Balakong, Kuala Lumpur sementara menunggu siasatan penuh daripada Chery Malaysia.
“Mereka memberi jaminan untuk selesaikannya dengan cepat dan mudah. Kereta ihsan juga ditawarkan tetapi saya tolak.
“Saya juga tidak akan membuat kenyataan lanjut sehingga keputusan keluar,” jelasnya.
Sebelum ini, kereta buatan jenama tersebut juga pernah dilaporkan menerima beberapa aduan tentang masalah brek namun ia sudah diselesaikan dengan pantas.
Setakat ini, belum ada kenyataan dikeluarkan pihak Chery Malaysia berhubung dakwaan tersebut.