Ikuti Kami:

Wani Kayrie Angkat Irama Tradisional Dalam Single Baharu ‘Cak Cak Cekuk’

Wani Kayrie Angkat Irama Tradisional Dalam Single Baharu ‘Cak Cak Cekuk’

Penyanyi muda berbakat besar, Wani Kayrie mempersembahkan nafas baharu kepada muzik tradisional Melayu menerusi single terbaharunya “Cak Cak Cekuk” yang secara rasmi dilancarkan hari ini menerusi label Rocketfuel Entertainment.

Menggabungkan elemen lagu rakyat dengan susunan muzik moden yang bertenaga “Cak Cak Cekuk” memperlihatkan komitmen Wani dalam mengangkat warisan budaya agar kekal relevan dalam industri muzik arus perdana.

Lagu tersebut merupakan ciptaan bersama tiga komposer berbakat iaitu Karim Karam, Shane Kennedy dan Iqie Hugh.

“Lagu ini diinspirasikan daripada irama rakyat ‘Cak Cekur Udang Gamit’ yang saya dengar semasa kecil. Ia sering dinyanyikan oleh ibu atau nenek kepada anak-anak sebagai lagu permainan dan nasihat. Saya teruja dapat memberi nafas moden kepada lagu berunsur budaya seperti ini,” kata Wani.

Dengan susunan muzik pop moden yang masih mengekalkan identiti melodi tradisional, Wani percaya “Cak Cak Cekuk” berupaya menjadi jambatan antara generasi lama dan baharu dalam menghargai seni muzik tempatan.

“Sebagai generasi baharu, saya rasa bertanggungjawab untuk terus menghidupkan semula unsur warisan dalam muzik tetapi dengan pendekatan yang segar dan sesuai untuk pendengar muda. Lagu ini bukan sahaja menghiburkan malah juga mendidik dan mengingatkan kita tentang nilai-nilai kekeluargaan dan cinta yang tulen,” tambahnya.

Lagu ini turut menyampaikan mesej realiti yang dihadapi pasangan muda hari ini iaitu keinginan untuk mendirikan rumah tangga yang seringkali dihalang oleh cabaran kewangan. Namun, mesej utama disampaikan secara ringan dan bersahaja selari dengan bunyi ceria lagu tersebut.

“Walaupun rentaknya santai lirik lagu ini sarat dengan makna tentang usaha bersama keikhlasan dan cinta sejati. Macam bait lagu ni ‘Perlahan dayung sampai hujung’ itulah semangat yang saya ingin kongsi,” jelas Wani.

“Cak Cak Cekuk” turut sesuai dimainkan dalam pelbagai majlis berkaitan cinta dan kekeluargaan seperti majlis perkahwinan atau sesi bridal shower menjadikannya bukan sekadar lagu hiburan malah sebagai pengikat budaya dan emosi.

Single ini kini boleh didapati di semua platform penstriman digital utama seperti Spotify Joox Apple Music KKBox Deezer dan YouTube Music bermula 23 Mei 2025. Video muzik rasmi juga bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Komen
Loading...