Ikuti Kami:

Wali Band Umum Konsert Solo di Sabah dan Kuala Lumpur

Wali Band Umum Konsert Solo di Sabah dan Kuala Lumpur

Kumpulan muzik popular Indonesia, Wali Band, hari ini mengumumkan bakal mengadakan konsert solo di dua lokasi utama iaitu Kota Kinabalu, Sabah dan Kuala Lumpur sebagai langkah menebus kekecewaan peminat susulan pembatalan dan gangguan teknikal pada konsert terdahulu.

Kumpulan yang terkenal dengan lagu Cari Jodoh itu dijadualkan menggegar Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 12 April ini, sebelum meneruskan aksi di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 1 Mei 2026.

Vokalisnya, Faank, berkata siri konsert solo kali ini amat bermakna bagi mereka kerana ia merupakan peluang terbaik untuk membalas kesetiaan peminat yang terkesan dengan isu pembatalan konsert di Sabah pada 2024 serta insiden teknikal di ibu kota awal tahun ini.

“Kami turut merasakan kekecewaan itu. Apa yang berlaku sebelum ini berada di luar kawalan kami. Apabila menerima tawaran daripada pihak penganjur untuk menjayakan konsert solo, kami melihatnya sebagai ruang untuk memberikan kepuasan maksimum buat semua peminat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Konsert Wali Kembali di Kuala Lumpur dibawakan oleh GIS Entertainment & Event bersama rakan strategik Infinity Love Creative Ventures.

Bagi jualan tiket bagi konsert di Kuala Lumpur akan bermula pada 14 Februari dengan tawaran harga dari RM77 (CAT7) sehingga RM777 (VIP).

Sebagai tanda penghargaan, penganjur konsert di Kuala Lumpur turut menawarkan diskaun istimewa sebanyak 20 peratus buat peminat yang hadir pada konsert terdahulu dengan mengemukakan bukti pembelian tiket yang lepas.

Sementara itu, konsert ‘Wali Live in Kota Kinabalu’ dianjurkan oleh 25th Studio & Infinity Love Creative Ventures dan tiket mula dijual hari ini (12 Feb) dengan harga serendah RM98 (Nenekku Pahlawanku) sehingga RM688 (Cari Jodoh – VIP).

Mengulas mengenai persiapan, Faank menjelaskan kumpulan itu akan tampil dengan repertoir yang lebih padat dan menarik bagi memastikan penonton mendapat nilai sebenar daripada persembahan mereka di kedua-dua lokasi tersebut.

Tiket boleh dibeli menerusi pautan www.ilassotickets.com.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui media sosial rasmi @konsertwalikembali2026 di platform TikTok dan Instagram.

Komen
Loading...