Ikuti Kami:

“Walaupun Mak Tiada Kaki, Saya Akan Menjadi ‘Kaki’ Mak” – Hafiz Suip

“Walaupun Mak Tiada Kaki, Saya Akan Menjadi ‘Kaki’ Mak” – Hafiz Suip

Malam penuh emosi menyelubungi Mega Star Arena, Bukit Bintang apabila penyanyi terkenal, Hafiz Suip, mencuri perhatian ramai dengan momen menyayat hati ketika konsert solonya, Di Sebalik Aku: Hafiz Suip, yang berlangsung malam tadi.

Ketika menyampaikan lagu Pelangi Petang nyanyian asal Allahyarham Sudirman Haji Arshad, suasana bertukar pilu apabila ayah dan ibunya yang menggunakan kerusi roda, tiba-tiba muncul di atas pentas, sekali gus mencetuskan kejutan besar kepada penyanyi itu dan ribuan penonton.

Difahamkan, ibu Hafiz kini berkerusi roda selepas kakinya terpaksa dipotong akibat masalah kesihatan. Tersentuh dengan kehadiran orang tuanya, Hafiz menunduk dan menahan sebak sebelum mengucapkan kata-kata yang meruntun hati penonton.

“Terima kasih banyak mak. Saya hanya ingin mak tahu, walaupun kamu sudah tidak ada kaki, saya akan menjadi ‘kaki’ mak,” katanya dengan suara bergetar sambil memeluk ibunya di atas pentas.

Kata-kata itu membuatkan suasana dewan hening seketika sebelum disusuli tepukan gemuruh dan tangisan penonton yang terharu menyaksikan kasih tulus antara seorang anak dan ibunya.

Konsert berdurasi hampir dua jam itu turut menjadi wadah buat Hafiz menzahirkan perjalanan hidup serta kerjaya seninya sepanjang 16 tahun dalam industri hiburan tanah air.

Antara lagu yang dipersembahkan termasuk Bahagiamu Deritaku, Awan Nano, Ombak Rindu, Ku Akui, Matahari serta lagu terbaharunya, Yang Engkau Mahukan yang disambut dengan sorakan hangat peminat.

Konsert turut diserikan dengan persembahan dua penyanyi undangan, Adira dan Umairah, selain Sufi Rashid, yang juga Pengarah Urusan SAH Entertainment.

Komen
Loading...