Vokal Kembali Mantap, Black Siap Tawan Hati Peminat di Konsert Hitam Manis
- oleh Mohd Indera
- 1 bulan lalu
Penyanyi terkenal Black bersedia untuk membuat kemunculan dalam Konsert Hitam Manis yang akan berlangsung 8 Februari 2025 di Plenary Hall, KLCC.
Persembahan ini menjadi tanda kebangkitannya setelah melalui tempoh pemulihan panjang akibat masalah kesihatan pada pita suara.
Black sebelum ini terpaksa berehat akibat polip yang berpunca daripada GERD, yang menyebabkan vokalnya terjejas teruk. Selepas menjalani pembedahan dan perubahan gaya hidup, vokalnya kini kembali mantap.
“Saya rasa seperti berusia 23 tahun semula apabila dapat merasai vokal saya kembali,” katanya penuh semangat.
Black atau nama penuhnya Hanifah Muhammad Hanafiah, 37 turut berkongsi perubahan besar dalam hidupnya, termasuk berhenti merokok dan mengamalkan diet sihat untuk memastikan kesihatannya terjaga.
“Diet yang sihat dan gaya hidup baru ini memberi kesan besar, dan kini saya rasa lebih sihat serta bertenaga,” ujarnya.
Konsert ini bukan sekadar platform untuk Black meraikan kebangkitan dirinya, tetapi juga peluang untuk menawan hati peminat dengan suara yang lebih kuat dan persembahan yang memukau.
Gabungan bersama Datuk Hattan dan Hazama dijangka menambah keunikan dan kehebatan persembahan tersebut.
Bagi Black, Konsert Hitam Manis adalah simbol kekuatannya yang berjaya bangkit semula selepas diuji.
Peminat boleh menjangkakan pengalaman luar biasa dalam konsert yang dijanjikan penuh emosi dan keajaiban suara ini.
Tiket telah mula dijual sejak 4 Oktober 2024 melalui laman web www.ticket2u.com.