Ikuti Kami:

Vocal Pizzest dan Mawar Mikaila Harumkan Nama Malaysia Di African Asia Pacific Choir Games 2025

Vocal Pizzest dan Mawar Mikaila Harumkan Nama Malaysia Di African Asia Pacific Choir Games 2025

Kumpulan koir Vocal Pizzest dari Malaysia terus mengharumkan nama negara apabila meraih pingat emas pada pertandingan African Asia Pacific Choir Games 2025: “Sing in Paradise” yang berlangsung di Mauritius dari 27 September hingga 5 Oktober lalu.

Kejayaan tersebut turut menjadi detik membanggakan buat pelajar berusia 10 tahun, Mawar Mikaila Datuk Omar Mustapha dari Cempaka International School, yang merupakan antara peserta termuda dalam pasukan itu.

Vocal Pizzest, yang dianggotai seramai 15 pelajar berusia sekitar 10 tahun dari Cempaka International School dan Cempaka National School, berjaya mengekalkan prestasi cemerlang selepas turut memenangi dua pingat emas di pertandingan antarabangsa Sing For Gold di Sepanyol tahun lalu.


Mawar Mikaila Datuk Omar Mustapha

Lebih bermakna, kejayaan di Mauritius turut diserikan dengan alunan lagu Negaraku yang berkumandang di dewan anugerah ketika penyampaian pingat emas, mencetuskan suasana penuh emosi dan kebanggaan buat seluruh pasukan serta wakil Malaysia.

“Selepas kejayaan di Sepanyol, kemenangan kali ini benar-benar memberi makna besar buat kami. Ia hasil pengorbanan dan latihan panjang. Saingan sangat hebat, namun kami percaya dan berikan yang terbaik. Kemenangan ini untuk semua rakyat Malaysia,” kata Mawar Mikaila.

Di bawah pimpinan konduktor berpengalaman Melinda Sik, kumpulan tersebut bertanding dalam dua kategori iaitu Children’s Choirs serta Pop, Jazz and Show.

Selain pertandingan utama, Vocal Pizzest turut mengambil bahagian dalam Perarakan Koir (Choir Parade) di sekitar Port Louis serta mempersembahkan lagu di Konsert Persahabatan (Friendship Concerts) di Mahebourg Waterfront dan Cascavelle Mall.

Program itu membuka peluang kepada mereka untuk menjalin hubungan budaya dan persahabatan dengan peserta antarabangsa lain.

Pasukan itu juga mengikuti bengkel khas bersama Profesor Basilio Astulez dari Sepanyol, seorang pendidik koir terkemuka dunia, bagi meningkatkan kemahiran vokal dan teknik persembahan.

Persembahan mantap dan harmoni mereka melayakkan Vocal Pizzest menerima Anugerah Tahap Emas (Gold Level Award) sekali gus mara ke Champions Competition, di mana kumpulan itu akhirnya diumumkan sebagai pemenang utama kategori Children’s Choirs dengan markah tertinggi keseluruhan.

Kejayaan berprestij ini sekali lagi menegaskan kemampuan bakat muda Malaysia bersaing di pentas antarabangsa serta menjadi inspirasi kepada generasi baharu untuk terus membawa nama negara ke persada dunia.

Komen
Loading...