Ikuti Kami:

vivo V70 Dilancar 5 Mac: Gabungan Prestasi Berkuasa dan Teknologi AI Terkini

vivo V70 Dilancar 5 Mac: Gabungan Prestasi Berkuasa dan Teknologi AI Terkini

Pengeluar telefon pintar terkemuka, vivo Malaysia, bakal menggegarkan pasaran peranti kelas pertengahan dengan pelancaran rasmi model terbaharu mereka, vivo V70, pada 5 Mac ini.

Peranti ini menjanjikan anjakan paradigma buat pengguna dengan membawakan tujuh ciri bertaraf ‘flagship’ (peranti mercu) yang sebelum ini hanya ditemui pada model premium.

vivo V70 tampil dengan rekaan yang menawan melalui penggunaan bingkai aloi aluminium gred aeroangkasa (6-siri).

Pemilihan bahan ini bukan sahaja memberikan kekuatan luar biasa dan ketahanan terhadap kakisan, malah memberikan tekstur logam yang premium serta selesa dipegang.

Kemasan ‘Golden Hour’ yang diperkenalkan memberikan impak visual berkilau yang elegan, menjadikannya bukan sekadar alat perhubungan, tetapi satu kenyataan gaya.

Salah satu tarikan utama vivo V70 ialah kehadiran kamera telefoto 50MP ZEISS dengan sensor Sony IMX882.

Ia merupakan satu-satunya peranti dalam kelasnya yang menawarkan keupayaan telefoto sedemikian, membolehkan pengguna menangkap gambar objek jauh dengan jelas melalui struktur periskop yang menyokong zum sehingga 20x.

Bagi peminat kandungan kreatif, integrasi AI Stage Mode serta teknologi AI Style Portrait memastikan setiap potret dan gambar konsisten dalam pelbagai keadaan pencahayaan, sekali gus memberikan pengalaman fotografi profesional dalam poket anda.

Dari aspek dalaman, vivo V70 tidak berkompromi. Dilengkapi dengan memori LPDDR5X dan storan UFS 4.1, peranti ini menawarkan kelajuan baca/tulis yang jauh lebih pantas berbanding generasi terdahulu, memastikan aktiviti permainan, penstriman, dan multitasking berjalan lancar tanpa gangguan.

Keupayaan AI turut diperkasakan melalui sistem operasi OriginOS 6 yang lebih intuitif, manakala ciri ‘AI Magic Weather’ dan ‘AI Magic Landscape’ membolehkan pengguna menyunting gambar dengan mudah untuk hasil yang lebih dramatik dan sempurna.

Bagi memastikan akses yang pantas dan selamat, vivo memperkenalkan sistem Pengimbas Cap Jari Ultrasonik 3D 2.0. Tidak seperti pengimbas optikal biasa, sistem ini mampu berfungsi dengan tepat walaupun tangan pengguna dalam keadaan basah atau lembap.

Pelancaran rasmi ini dijangka akan membuka lembaran baharu bagi segmen telefon pintar pertengahan di Malaysia. Orang ramai dijemput mengikuti laman Facebook dan Instagram rasmi vivo Malaysia untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini mengenai vivo V70.

Loading...