Ikuti Kami:

Violet Skies: Konsert Ulang Tahun Ke-30 Siti Nurhaliza di Arena of Stars Genting

Violet Skies: Konsert Ulang Tahun Ke-30 Siti Nurhaliza di Arena of Stars Genting

Sempena 30 tahun penglibatan dalam industri muzik, Dato’ Sri Siti Nurhaliza bakal mengadakan konsert istimewa bertajuk Violet Skies: Dato’ Sri Siti Nurhaliza Live In Arena Of Stars, yang dijadualkan berlangsung pada 5 dan 6 Julai 2025 di Arena of Stars, Resorts World Genting.

Konsert ulang tahun ke-30 ini bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya dijangka menjadi antara acara muzik paling dinantikan tahun ini, menghimpunkan peminat setia dari pelbagai lapisan usia dalam sebuah malam yang sarat dengan magis, kenangan dan keindahan muzik.

Konsert mega yang dijadualkan pada jam 8:30 malam itu akan menyatukan peminat setia, dengan persembahan bertenaga, seleksi lagu-lagu ikonik serta produksi pentas bertaraf antarabangsa.

Dikenali dengan vokal mantap dan aura pentas memukau, Siti Nurhaliza sekali lagi bakal membuktikan statusnya sebagai penyanyi unggul negara.

Selepas kejayaan dua persembahan yang sold out tahun lalu, Violet Skies tampil sebagai penghargaan eksklusif kepada legasi Siti Nurhaliza yang telah mencorakkan landskap muzik tanah air selama tiga dekad.

Konsert ini juga menjadi simbol ketekunan, kreativiti, dan pengaruh beliau dalam menghubungkan generasi melalui karya seni.

Tiket akan mula dijual pada 30 April 2025, jam 3.00 petang, dengan harga bermula daripada RM278 (PS4) hingga RM768 (VIP).

Kategori tiket lain termasuk PS1 (RM658), PS2 (RM528) dan PS3 (RM398). Ahli Genting Rewards Card layak menikmati diskaun eksklusif 10% untuk tiket VIP hingga PS3 melalui pembayaran tunai, kad kredit atau penebusan Mata Ganjaran Genting.

Setiap pembelian tiket turut dikenakan caj pemprosesan sebanyak RM4.00.

Violet Skies bukan sahaja meraikan kejayaan karier Siti Nurhaliza, malah menjanjikan sebuah pengalaman muzik yang menyentuh jiwa.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan kehebatan seorang ikon seni negara dalam persembahan istimewa yang bakal terpahat dalam sejarah hiburan Malaysia.

Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, sila layari www.rwgenting.com.

Komen
Loading...