Ikuti Kami:

Violet Skies: Dato’ Sri Siti Nurhaliza Tunaikan Lagu Permintaan Peminat

Violet Skies: Dato’ Sri Siti Nurhaliza Tunaikan Lagu Permintaan Peminat

Malam pertama konsert Violet Skies: Dato’ Sri Siti Nurhaliza Live In Arena Of Stars menyaksikan penyanyi tersohor negara itu menunaikan impian ramai peminat apabila menyampaikan lagu-lagu pilihan mereka sempena ulang tahun ke-30 kerjayanya dalam industri muzik.

Konsert yang berlangsung di Arena of Stars, Resorts World Genting malam tadi berjaya menghimpunkan hampir 5,000 peminat dari seluruh negara.

Lebih istimewa, hampir 30 lagu dipersembahkan, termasuk beberapa medley yang disusun khas berdasarkan cadangan peminat.

Siti membuka persembahan dengan lagu Aku Cinta Padamu, diikuti PendirianKu, Beradu Di Khayalan, Seindah Biasa, Sendiri, serta medley Usah Diragui dan Purnama Merindu.

Lagu-lagu lain termasuk Bardasila, Cinta Tak Berganti, Tak Rela Berpisah Darimu, Tak Boleh Lupa, Pastikan, Sesal dan Bintang Malam.

Menepati konsep konsert sebagai penghargaan buat peminat, Siti menyampaikan lagu-lagu yang sering diminta sejak sekian lama.

“Malam ini, saya nak anda semua enjoy. Insya-Allah, saya akan sampaikan lagu-lagu pilihan yang ada dalam wish list peminat-peminat saya,” katanya kepada penonton.

Siti turut menjemput Ahmad Daiyan (Amad), anak saudaranya, untuk menyanyi bersama lagu Seribu Kemanisan dan Azimat Cinta. Turut memeriahkan pentas ialah Noh Salleh sebagai artis jemputan, bergandingan dengan Siti menerusi lagu Bengawan Solo, Rahsia Tuhan dan Pagi Yang Gelap.

Segmen Medley Rock yang menampilkan lagu Tika dan Saat Ini, Di Alam Fana Cinta dan Seribu Tahun Takkan Mungkin membuktikan keupayaan Siti menjelajah pelbagai genre muzik. Persembahan ditutup dengan lagu penuh makna Kita Kan Bersama.

Selain persembahan bertenaga dan vokal memukau, konsert turut menyerlah dengan muzik hebat yang diketuai pengarah muzik tersohor, Aubrey Suwito.

Konsert diteruskan malam ini, Ahad 6 Julai 2025, dan dijangka menyajikan momen berbeza buat peminat yang hadir.

Tiket masih boleh didapati menerusi laman rasmi www.rwgenting.com.

Komen
Loading...