Ikuti Kami:

Vertical Horizon Ubati Rindu Peminat, Gegar Zepp KL Mei Ini

Vertical Horizon Ubati Rindu Peminat, Gegar Zepp KL Mei Ini

Kerinduan peminat tegar muzik rock alternatif terhadap kumpulan ikonik Amerika Syarikat, Vertical Horizon, bakal terubat apabila band tersebut dijadualkan kembali ke Malaysia untuk sebuah konsert istimewa pada 22 Mei depan.

Kumpulan yang popular menerusi lagu Everything You Want itu memilih Zepp Kuala Lumpur sebagai lokasi persinggahan bagi menghiburkan peminat yang membesar dengan muzik era akhir 90-an dan awal 2000-an.

Dianjurkan oleh Hitman Solutions, konsert itu dijanjikan sebagai sebuah malam penuh nostalgia yang bakal membangkitkan memori kegemilangan album multi-platinum mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal berkata, pihaknya berbesar hati membawa kembali kumpulan tersebut memandangkan kualiti muzik mereka yang kekal relevan merentasi generasi.

“Vertical Horizon pernah membuat persembahan di Malaysia pada tahun 2014, dan kami berbesar hati menjadi penganjur yang membawa mereka kembali ke sini. Di Hitman Group, kami sentiasa berusaha membawakan bakat bertaraf dunia untuk pengalaman antarabangsa yang setanding,” katanya.

Peminat bakal menyaksikan persembahan bertenaga daripada barisan anggota kumpulan itu yang diketuai oleh Matt Scannell (vokal/gitar), John Wesley (gitar), Ron LaVella (dram), dan Mark Pacificar (bass).

Kumpulan ini meraih populariti global menerusi album Everything You Want, di mana lagu judulnya menjadi antara karya yang paling kerap diputarkan di radio pada tahun 2000, selain lagu hit lain seperti You’re a God dan Best I Ever Had (Grey Sky Morning).

Terdapat empat kategori tiket yang ditawarkan dengan harga bermula dari RM199 sehingga RM309.

Bagi yang tidak mahu melepaskan peluang, jualan tiket akan mula dibuka pada 26 Mac ini, jam 12 tengah hari menerusi laman web rasmi www.hitmanlive.com.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat menerusi talian +6012-2655783 atau e-mel ke [email protected].

Loading...