Ikuti Kami:

Versi Sinematik ‘Nanti Kita Seperti Ini’ Gabung Suara Berjiwa Hannah Delisha & Batas Senja

Versi Sinematik ‘Nanti Kita Seperti Ini’ Gabung Suara Berjiwa Hannah Delisha & Batas Senja

Lagu popular “Nanti Kita Seperti Ini” kini hadir dalam versi terbaharu yang lebih menyentuh perasaan apabila penyanyi dan pelakon terkenal, Hannah Delisha, bergabung suara bersama kumpulan pop-folk Indonesia, Batas Senja.

Lagu ini sebelum ini mencatat lebih 340 juta strim di Spotify dan lebih 79 juta tontonan di YouTube, kini diberi nafas baharu dengan susunan muzik sinematik yang lebih besar dan penuh emosi.

Kolaborasi ini bermula selepas vokalis utama Batas Senja, Masitong, melihat Hannah menyanyikan lagu itu di TikTok. Kagum dengan suara dan gaya nyanyiannya, beliau yakin Hannah adalah pilihan yang tepat.

“Saya nampak Hannah cover lagu ini dan terus rasa dia sangat sesuai. Suara dia unik dan penuh perasaan,” kata Masitong.

Versi baharu ini bukan sahaja menampilkan susunan muzik orkestra yang lebih mendalam, tetapi juga menyampaikan mesej harapan dalam kehidupan dan percintaan.

Menurut Hannah, dia terus rasa dekat dengan lagu ini sejak pertama kali mendengarnya.

“Lagu ini sangat indah. Ia buat saya terfikir tentang momen-momen kecil dalam hubungan yang selalu kita terlepas pandang. Saya rasa bangga dapat jadi sebahagian daripada versi ini,” katanya.

Walaupun proses rakaman dilakukan secara berasingan, kedua-dua penyanyi berjaya menghasilkan harmoni yang seimbang. Hannah juga sempat ke Lampung, Indonesia, untuk penggambaran video muzik hanya beberapa hari selepas sesi rakamannya.

“Mereka sangat mudah diajak bekerjasama. Saya rasa suara saya dan Masitong sangat serasi. Lagu ini sederhana tapi penuh makna,” tambahnya.

Masitong menjelaskan lagu ini ditulis berdasarkan kisah hidupnya sendiri ketika melalui waktu yang sukar, namun tetap menyimpan harapan untuk masa depan yang lebih baik.

“Lagu ini adalah tentang harapan. Versi baharu ini kami cipta untuk beri rasa lebih kuat dan dekat di hati pendengar,” katanya.

Kini, “Nanti Kita Seperti Ini (Cinematic Version)” boleh didengari di semua platform digital, dan video muzik rasmi boleh ditonton di saluran YouTube Hannah Delisha bermula hari ini.

Lagu ini bukan sekadar hiburan, tapi juga satu peringatan tentang menghargai kasih sayang, harapan dan momen kecil dalam hidup.

Komen
Loading...