Selepas melahirkan single terbaharunya beberapa bulan lalu, penyanyi berbakat besar ini kembali dengan karya terkininya, Anyam Kayangan, yang menjadi lagu tema dan runut bunyi asli (OST) untuk siri fantasi seram baharu, Kayangan.
Lagu berentak balada ini adalah hasil ciptaan Bajai & Co dengan lirik karya Adrianna Cinta, yang diolah untuk selaras sepenuhnya dengan tema serta emosi yang dibawa dalam siri tersebut.
Menurut Vanessa, Anyam Kayangan mengangkat elemen emosi yang mencerminkan kesukaran hidup, kepedihan akibat dosa masa lalu, serta janji palsu yang membawa perangkap berpanjangan.
“Liriknya diolah untuk menghubungkan tema drama ini, yang bukan hanya seram tetapi juga menggambarkan kompleksiti emosi manusia,” katanya.
Perjalanan menghasilkan lagu ini penuh cabaran, termasuk masalah kesihatan yang dihadapi Vanessa semasa sesi rakaman pertama.
“Saya selsema ketika itu, dan key asal lagu ini memang tinggi. Selepas pulih sepenuhnya, saya kembali ke studio dan berjaya menyampaikan lagu ini dengan lebih baik,” katanya.
Bersama penerbit vokal Afif, Vanessa menemui teknik terbaik untuk menyampaikan emosi lagu tersebut, sambil menyesuaikan gaya nyanyian dengan nuansa seram.
Proses penggambaran video muzik juga memberikan pengalaman yang mencabar. Vanessa berkongsi bahawa ia berlangsung dari jam 9 malam hingga 4 pagi.
“Walaupun hari itu panjang, saya puas hati dengan hasil akhirnya,” katanya.
Vanessa berharap lagu ini bukan sahaja melengkapi siri Kayangan tetapi juga menarik perhatian peminat baharu.
“Semoga lagu ini menjadi salah satu pilihan kegemaran dalam senarai lagu mereka,” tambahnya.
Anyam Kayangan akan dilancarkan pada 18 Oktober 2024 dan boleh didapati di pelbagai platform digital seperti iTunes, Apple Music, Spotify, Deezer, dan YouTube Music.
Drama Kayangan menampilkan barisan pelakon ternama seperti Zul Ariffin, Elisya Sandha, Hasnul Rahmat, dan Siti Saleha.