Ikuti Kami:

Valiram Friends & Family Tawarkan Diskaun 80 Peratus, Lebih 100 Jenama Antarabangsa

Valiram Friends & Family Tawarkan Diskaun 80 Peratus, Lebih 100 Jenama Antarabangsa

Valiram, kumpulan peruncit barangan mewah dan gaya hidup terkemuka di Asia Tenggara, kembali menganjurkan acara jualan ikonik Valiram Friends & Family Sale yang menawarkan potongan harga drastik sehingga 80 peratus bagi lebih 100 jenama antarabangsa.

Berlangsung di Ballroom Mayang Sari, JW Marriott Kuala Lumpur sehingga 13 Mac ini, acara itu menghimpunkan koleksi premium daripada jenama global seperti TUMI, Michael Kors, Victoria’s Secret, Bath & Body Works, Steve Madden, serta pelbagai jenama jam tangan mewah Switzerland dan produk kecantikan.

Membawa tema eksklusif, jualan kali ini bukan sekadar jualan gudang biasa, sebaliknya ia direka untuk memberi pengalaman beli-belah mewah dalam suasana hotel lima bintang yang selesa.

Jurucakap Valiram berkata, pihaknya komited memastikan setiap pelanggan mendapat akses kepada produk berkualiti dan terkini bagi persiapan musim perayaan, dan bukannya stok lama yang hampir luput.

“Apa yang kami lakukan adalah memastikan setiap hari ada stok baharu yang dibawa masuk. Kami tidak mengeluarkan semua barangan pada hari pertama kerana mahu bersikap adil kepada pelanggan yang hanya berkesempatan datang pada hari bekerja atau waktu malam.

“Ini adalah ‘pengalaman mewah’. Sebab itu kami memilih JW Marriott, kerana ia melambangkan identiti Valiram yang mementingkan kualiti dan layanan terbaik untuk pelanggan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Acara yang bermula dari jam 10 pagi hingga 12 tengah malam itu turut menyaksikan prestasi jualan yang lebih memberangsangkan berbanding tahun-tahun sebelum ini, membuktikan permintaan terhadap barangan mewah pada nilai mampu milik kekal tinggi.

Selain diskaun besar-besaran, pengunjung yang berbelanja minimum RM700 menggunakan rakan kerjasama seperti HSBC, Maybank atau Atome berpeluang menyertai aktiviti Spin-the-Wheel untuk memenangi pelbagai ganjaran.

Bagi mereka yang berbelanja RM1,000 ke atas, Valiram turut menawarkan baucar ais krim Godiva serta peluang menyertai cabutan bertuah bagi memenangi sebuah iPhone 16 Pro.

Orang ramai yang ingin membuat persiapan perayaan dengan gaya mewah digalakkan hadir awal bagi merebut koleksi terpilih sebelum jualan berakhir Jumaat ini.

Loading...