Ikuti Kami:

UTV Terima Sambutan Luar Biasa di Celebfest, Singapura

UTV Terima Sambutan Luar Biasa di Celebfest, Singapura

Platform penstriman Over-The-Top (OTT) tempatan, UTV, terus mengukuhkan pengaruhnya di pasaran antarabangsa apabila meraih sambutan luar biasa dalam acara festival gaya hidup popular, Celebfest, yang berlangsung di Suntec Singapore Convention & Exhibition Centre, baru-baru ini.

​Kehadiran UTV di republik itu bukan sahaja berjaya menarik perhatian ribuan pengunjung, malah membuktikan kandungan kreatif dari Malaysia terus mendapat tempat di hati penonton serantau.

​Presiden UTV merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Usanita, Datuk Adzliana Hasan berkata, pihaknya terharu dengan maklum balas positif warga Singapura yang berpusu-pusu mengunjungi reruai UTV untuk melanggan dan memuat turun aplikasi berkenaan.

​”Alhamdulillah, sambutan ini membuktikan kandungan tempatan kita mempunyai peminat tersendiri di Singapura. Kami berharap UTV dapat menjadi jambatan yang mendekatkan lagi penonton di rantau ini dengan karya-karya berkualiti,” katanya.

​Menariknya, warga Singapura kini boleh menikmati pelbagai pengisian eksklusif UTV pada harga serendah SGD3.90, sekali gus memberi nilai tambah kepada peminat hiburan Melayu di sana.

​Tarikan utama di reruai UTV sepanjang festival itu adalah sesi meet and greet bersama barisan bintang popular seperti Fattah Amin, Amira Othman, Anna Jobling, Nora Danish, dan Arfie Shah.

​Bagaimanapun, pelakon muda Siti Khadijah Halim mencuri tumpuan apabila menerima kunjungan peminat paling ramai. Malah, ada yang sanggup beratur panjang hampir dua jam demi bertemu dan bergambar dengan pelakon kesayangan mereka itu.

​Kehadiran Siti Khadijah juga adalah bagi mempromosikan drama terbaharu lakonannya, Takdirnya Cinta, yang bakal ditayangkan secara eksklusif di UTV bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

​Kejayaan di Celebfest ini memberikan isyarat positif kepada UTV untuk terus memperluaskan pasaran kandungan digital tempatan ke peringkat global, khususnya dalam kalangan komuniti Nusantara.

Loading...