UTV Original: Liyana Jasmay Kembali Jadi Antagonis, Temukan Sharifah Amani & Iedil Dzuhrie Dalam Fantasi Fiksi
- oleh MDaily Editor
- 12 Feb 2026 9:47 pm
Platform penstriman UTV terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri kreatif tempatan dengan pelancaran telefilem terbaharu, Fantasi Fiksi, yang menyaksikan kepulangan pelakon berbakat besar, Liyana Jasmay, memegang watak antagonis.
Naskhah arahan pengarah berkaliber, Tam Suhaimi, ini bukan sekadar sebuah drama romantik komedi biasa, malah ia menyatukan semula barisan pelakon ‘powerhouse’ termasuk Sharifah Amani, Iedil Dzuhrie, Sazzy Falak, dan Amy Mastura.
Salah satu daya tarikan unik dalam naskhah ini adalah penglibatan pelakon popular, Nora Danish yang asalnya merupakan calon pilihan utama untuk menggalas watak utama, Azalea.
Mengulas mengenai perkara itu, Tam Suhaimi mendedahkan bahawa disebabkan beberapa kekangan yang tidak dapat dielakkan, peranan tersebut akhirnya diserahkan kepada Liyana Jasmay dan Nora Danish dikekalkan sebagai pencerita (narrator).

”Sebenarnya Allah itu tidak salah alamat. Pada asalnya memang kami melihat Nora untuk watak Azalea, tetapi atas faktor tertentu, ia tidak dapat dijayakan. Namun, saya tetap mahukan seorang pencerita yang kuat, dan kita kekalkan Nora”.
”Bila watak Azalea itu berpindah kepada Liyana Jasmay, watak itu menjadi lebih ‘besar’ dan hidup dengan caranya tersendiri. Liyana sangat sesuai kerana dia berjaya membawakan sisi ego dan antagonis itu dengan cukup cemerlang,” kata Tam.
Menerusi naskhah ini, Tam Suhaimi turut menyuntik elemen telenovela dan sinetron, selari dengan rancangan UTV untuk melebarkan sayap ke pasaran Indonesia.
Tam menjelaskan beliau mahukan watak Irfan memiliki jiwa ‘Hero Indonesia’ yang asli tanpa perlu dibuat-buat.
”Saya tanya diri sendiri, siapa pelakon Malaysia yang boleh berbahasa Indonesia dengan natural? Jawapannya adalah Iedil Dzuhrie. Bila Azalea mendengar suara Irfan, dia akan rasa persis mendengar suara hero Indonesia yang sebenar. Itu yang memberikan ‘jiwa’ kepada dimensi fantasi dalam cerita ini,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Presiden UTV merangkap CEO Usanita Group, Datuk Adzliana Prof. Dato Sri Dr. Hasan (Datuk Nana), menyatakan komitmen pihaknya dalam membawa kandungan berkualiti tinggi dengan gaya sinematografi yang berbeza.

”Di UTV, kita ada kepelbagaian gaya daripada pengarah yang berbeza. Untuk Fantasi Fiksi, ia sebuah naskhah yang lain daripada yang lain. Saya rasa rakyat Malaysia akan suka melihat wajah-wajah yang sudah lama mereka nantikan kembali beraksi dalam satu naskhah yang segar,” ujar beliau.
Selain teraju utama yang digalas oleh Liyana Jasmay sebagai Azalea, naskhah terbitan Imaginal Pictures ini turut dibintangi oleh Sharifah Amani sebagai Maya, dan Iedil Dzuhrie sebagai Irfan, turut diperkuatkan dengan penampilan Sazzy Falak, Amy Mastura, Sherry Al Hadad, serta pelakon muda berbakat termasuk Eyka Farhana, Fara Nadiah, Mustaqim Bahadon, dan Luqman Hafidz.

Sinopsis: Terperangkap Dalam Dimensi Telenovela
Fantasi Fiksi mengisahkan tentang Azalea, seorang penulis novel yang berang apabila skrip adaptasi dramanya dilabel sebagai karya klise dan mudah diramal oleh Maya, Ketua Kandungan di sebuah stesen TV.
Perbalahan kreatif itu membawa kepada satu kejadian misteri di mana Azalea terjaga di hospital dan menyedari bahawa dia telah terperangkap di dalam ”dimensi drama” persis penulisan skripnya sendiri.
Percaya bahawa kunci untuk kembali ke realiti adalah dengan merampas Irfan daripada tangan Maya, Azalea berdepan cabaran besar kerana di dalam dimensi tersebut, dia bukanlah watak utama yang dicintai, sebaliknya memegang peranan sebagai watak antagonis yang dibenci.
Fantasi Fiksi kini boleh ditonton secara eksklusif di aplikasi UTV bermula hari ini, 12 Februari 2026, jam 9.00 malam dengan langganan serendah RM9.50.




