UTV Lebarkan Sayap ke Saluran TV Digital, Kini Sasar Pasaran Nusantara
- oleh MDaily Editor
- 2 Apr 2026 9:04 pm
Platform penstriman video popular, UTV, kini melangkah ke fasa baharu apabila melebarkan sayapnya ke Saluran TV Digital menerusi aplikasi yang boleh diakses melalui semua peranti Android TV bermula hari ini.
Langkah strategik itu menyaksikan UTV kini berfungsi sebagai platform Over-the-Top (OTT) setanding gergasi antarabangsa namun dengan fokus utama terhadap pengeluaran kandungan lokal yang berkualiti.
Presiden UTV merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Group, Datuk Adzliana Prof. Dato’ Sri Dr. Hasan (Datuk Nana), berkata inisiatif tersebut diambil susulan sambutan luar biasa penonton terhadap kandungan yang ditawarkan di aplikasi mudah alih sebelum ini.
“Hari ini kami berbesar hati mengumumkan UTV kini mempunyai saluran TV Digital. Jika sebelum ini penonton hanya melanggan menerusi peranti mudah alih atau desktop, kini UTV akan muncul di Android TV, memberikan pengalaman seolah-olah mempunyai ‘pawagam peribadi’ di rumah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Seri Syawal Usanita 2026 yang diadakan di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai perkembangan kandungan, Datuk Nana mendedahkan pihaknya kini memperkasakan segmen UTV Nusantara melalui kerjasama dengan syarikat produksi dari Indonesia.
Langkah itu bertujuan untuk menghasilkan telemovie yang menggabungkan bakat dari kedua-dua buah negara (cross-country) bagi memenuhi permintaan peminat di Malaysia, Indonesia, Singapura, dan Brunei.

“Kita sudah mempunyai hampir 30 telemovie baharu yang segar untuk tayangan. Menerusi UTV Nusantara, kita tampilkan gandingan hero dan heroin dari Malaysia dan Indonesia. Ini adalah peluang keemasan kerana kandungan kami kini sudah boleh distrim secara meluas di rantau ini,” jelas beliau.
Kejayaan peralihan UTV ke platform TV digital ini turut didorong oleh fenomena telemovie Postkad Cinta dari Auckland lakonan Fattah Amin dan Amirah Othman yang berjaya meraih lebih 20.1 juta tontonan.
“Impak tontonan yang sangat tinggi ini memberi keyakinan kepada kami untuk terus berkembang. Kami mengekalkan konsep pay-per-content, di mana penonton hanya perlu membayar untuk cerita yang ingin ditonton sahaja tanpa perlu komitmen langganan bulanan yang membebankan,” tambahnya lagi.
UTV bakal mengekalkan identitinya sebagai saluran ‘feel good’ dengan memfokuskan kepada genre romantik komedi.
Dalam masa yang sama, Datuk Nana turut memberi bayangan bakal menampilkan lebih ramai pelakon gred A dan personaliti berpengaruh, termasuk perancangan untuk menerbitkan filem ke layar perak menjelang tahun 2027.
Para pengguna boleh mendapatkan aplikasi UTV secara rasmi melalui stor aplikasi App Store bagi pengguna iOS serta Play Store untuk pengguna Android.




