Ikuti Kami:

UTV Bawa Sentuhan Cinta dan Kulinari Ke Layar Dengan Telefilem Saling Tak Terlihat

UTV Bawa Sentuhan Cinta dan Kulinari Ke Layar Dengan Telefilem Saling Tak Terlihat

Usanita Entertainment Sdn. Bhd. menerusi jenama UTV tampil dengan telefilem terbaharu bertajuk Saling Tak Terlihat, arahan pengarah prolifik Izuan Mokhtar, yang bakal menemui penonton pada 6 November 2025, jam 9 malam.

Diterbitkan di bawah pimpinan Presiden UTV merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Group, Datuk Adzliana Hasan, karya ini menghimpunkan barisan pelakon ternama tanah air seperti Remy Ishak, Nora Danish, Fattah Amin, Alicia Amin, Ummie Aida, Aleza Shadan dan Raja Azmi.

Menggabungkan tema cinta, kehilangan dan semangat untuk bangkit semula, Saling Tak Terlihat mengangkat kisah yang sarat emosi dengan latar keindahan bandar Auckland, New Zealand, menjadikan ia antara telefilem tempatan yang berani menampilkan keindahan visual bertaraf antarabangsa.

Menurut pengarahnya, Izuan Mokhtar, penggambaran telefilem ini dijalankan selama sembilan hari iaitu dua hari di Malaysia dan tujuh hari di Auckland dengan pelbagai cabaran dari segi logistik serta cuaca tidak menentu.

“Idea asal telefilem ini sebenarnya untuk dijalankan di Morocco. Saya sudah buat tinjauan ke Tunisia, Marrakesh dan Casablanca, namun akhirnya kami pilih New Zealand kerana lebih sesuai dengan jalan cerita dan mudah dari segi logistik,” jelasnya.

Izuan turut berkongsi bahawa Saling Tak Terlihat diinspirasikan daripada keinginan untuk menggabungkan emosi manusia dan dunia kulinari dalam satu kisah cinta yang berbeza.

“Telefilem ini tentang cinta dan makanan. Saya mahu penonton merasai keindahan cinta yang lahir bukan daripada pandangan mata, tetapi daripada ‘rasa’ yang lebih mendalam,” katanya.

Lebih menarik, watak utama wanita dalam telefilem ini digambarkan sebagai seorang gadis buta, menjadikan tema ‘deria dan rasa’ lebih kuat serta simbolik dalam penceritaan.

“Saya percaya golongan OKU mempunyai kelebihan tersendiri. Dalam kisah ini, watak buta mempunyai deria rasa yang sangat tajam, dan dari situ lahir hubungan emosi yang unik antara dua karakter utama,” tambah Izuan.

Izuan turut mengakui penggambaran berdepan cabaran apabila hujan lebat berterusan selama empat hari menyebabkan jadual terpaksa diubah beberapa kali.

“Empat hari kami tak dapat shooting seperti dijadualkan kerana hujan berterusan. Bila hujan berhenti saja, kami terus sambung penggambaran,” ujarnya.

Telefilem ini turut menandakan gandingan semula Remy Ishak dan Nora Danish, dua pelakon popular yang pernah mencipta keserasian di layar sebelum ini.

“Remy dan Nora masing-masing ada kekuatan tersendiri. Saya beri ruang untuk mereka tampil lebih matang dan mendalam dalam lakonan kali ini. Saling Tak Terlihat lebih berat dari segi emosi berbanding Poskad Cinta Dari Auckland,” katanya.

Sementara itu, Datuk Adzliana Hasan menjelaskan bahawa penerbitan Saling Tak Terlihat selaras dengan usaha UTV memperkukuh industri kandungan tempatan dengan naskhah berkualiti dan pelakon pelbagai generasi.

“Kami di UTV mahu tampilkan kepelbagaian wajah dan bakat. Setiap telefilem yang kami hasilkan bertujuan memperkukuh nilai drama tempatan agar setaraf dengan produksi antarabangsa,” katanya.

Sinopsis

Mengisahkan Ghaz (lakonan Remy Ishak), seorang cef muda yang kehilangan ibunya, seorang cef terkenal, lalu berdepan krisis keyakinan apabila masakannya tidak lagi mampu menandingi sentuhan ibunya. Dalam usaha mencari inspirasi, Ghaz membawa diri ke Auckland bersama adiknya dan rakan sekerja (lakonan Fattah Amin dan Alicia Amin).

Di sana, pertemuannya dengan Safera (lakonan Nora Danish), seorang gadis buta yang mengubah hidupnya, membuka ruang kepada kisah cinta yang lahir daripada rasa dan keikhlasan. Namun, salah faham antara mereka memisahkan cinta yang baru berputik.

Dengan sinematografi indah, kisah penuh emosi dan mesej kemanusiaan yang kuat, Saling Tak Terlihat menjanjikan pengalaman menonton yang menyentuh hati dan meninggalkan kesan mendalam.

Telefilem ini bakal ditayangkan secara eksklusif di platform UTV pada 6 November 2025, jam 9 malam.

Sebagai pelengkap, lagu “Jadikan Aku Nadi Hidupmu” ciptaan Ajai dan dinyanyikan oleh Lah Ahmad dipilih sebagai runut bunyi rasmi telefilem ini, menyerikan lagi naskhah cinta penuh makna tersebut.

Komen
Loading...