Ikuti Kami:

UTV Anjur Acara Hi-Tea Raikan Fattah dan Amira Serta Lancar OST Poskad Cinta Dari Auckland

UTV Anjur Acara Hi-Tea Raikan Fattah dan Amira Serta Lancar OST Poskad Cinta Dari Auckland

Pasangan selebriti popular, Fattah Amin dan Amira Othman diraikan dalam suasana penuh romantis menerusi acara eksklusif Hi-Tea The Garden of Love FATTMIRA anjuran UTV (Usanita TV) di Ukays Hills, Bukit Antarabangsa, semalam.

Acara istimewa anjuran Usanita Sdn Bhd itu bukan sekadar meraikan pasangan pengantin baharu berkenaan, tetapi turut menjadi platform pelancaran rasmi lagu runut bunyi (OST) telefilem Poskad Cinta Dari Auckland berjudul Always Will, ciptaan Ajai dan dinyanyikan secara langsung oleh Amira Othman di majlis sama.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran pemenang dan pelanggan bertuah UTV yang memenangi cabaran di TikTok serta radio ERA, menjadikan suasana lebih eksklusif dengan interaksi mesra antara peminat dan artis.

Majlis yang dikendalikan oleh pengacara terkenal, Awal Ashaari dan Yasmin Hani, turut menampilkan segmen istimewa di mana Fattah dan Amira berkongsi cerita serta pengalaman sebagai pasangan baharu bersama peminat bertuah yang hadir.

Segmen tersebut sarat dengan detik romantis dan spontan, menyerlahkan keakraban serta kejujuran dua figura yang kini menjadi simbol pasangan ideal dalam dunia hiburan tanah air.

Dalam sesi perkongsian tersebut, Amira sempat menceritakan sisi peribadi Fattah sebagai seorang suami yang penyayang dan tenang.

“Fattah ni jenis suami yang tak suka panjangkan hal. Kalau saya merajuk, dia cepat-cepat selesaikan. Dia akan terus cakap, ‘Dah lah, tak payah panjang-panjang.’ Saya pun cepat sejuk dan terus balas, ‘Okeylah, selesai.’ Jadi, saya beranggapan suami saya ni tenang orangnya.

“Saya tak mampu nak balas setiap kebaikan itu tapi saya yakin Allah Maha Mengetahui, Allah Maha Baik. Moga Allah memberikan yang baik-baik buat suami saya. Amin,” kata Amira.

Fattah pula secara bersahaja berkongsi doa dan harapannya terhadap hubungan mereka.

“Saya selalu cakap, isteri syurga, isteri syurga. Jadi, itulah saya cakap pada Mira, semoga jodoh sampai syurga,” ujar Fattah disambut tepukan dan sorakan daripada tetamu yang hadir.

Mengulas lanjut, Pengasas Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Prof. Dato’ Sri Dr. Hasan atau lebih mesra dipanggil Datuk Nana, acara ini menandakan pelancaran rasmi karya pertama Usanita Entertainment di bawah platform UTV.

“Hari ini kita meraikan pasangan Fattah dan Amira yang juga wajah rasmi Usanita Group, selain memperkenalkan lagu pertama dibawah Usanita Entertainment, iaitu Always Will nyanyian Amira yang dijadikan runut bunyi (OST) telefilem Poskad Cinta Dari Auckland,“ katanya.

Menurut Datuk Nana, telefilem berkenaan mencatat sambutan luar biasa apabila meraih lebih 20.1 juta tontonan di aplikasi UTV serta pelbagai platform media sosial dalam tempoh kurang dua bulan selepas dilancarkan.

“Alhamdulillah, telefilem ini menerima sambutan yang amat menggalakkan walaupun baru dilancarkan pada 28 Ogos lalu. Jumlah tontonan yang terus meningkat membuktikan kandungan tempatan masih dekat di hati penonton,”

“Rata-rata penonton menyukai jalan cerita serta kandungan yang disiarkan di UTV. Jadi selepas ini, kami akan terus mengekalkan konsep kandungan ‘feel good’ yang relevan dan dekat dengan kisah masyarakat,” katanya.

Sementara itu, komposer lagu, Ajai mendedahkan ilham menghasilkan lagu Always Will datang daripada jalan cerita dan suasana penggambaran telefilem tersebut.

“Saya cipta lagu ini berdasarkan sinopsis dan visual cerita. Saya sesuaikan range vokal dengan suara Amira kerana saya sudah lama tahu kemampuan dan warna suaranya yang unik,” katanya.

Turut memeriahkan majlis ialah rakan artis antaranya Sophia Albarakbah dan Nadeera Zaini yang turut membuat persembahan lagu barunya Peluk.

Telefilem Poskad Cinta Dari Auckland arahan Izuan Mokhtar menampilkan barisan pelakon hebat termasuk Fattah Amin, Amira Othman, Irfan Haris, Bell Ngasri, Umie Aida dan Izuan sendiri.

Ia mengisahkan sekeping poskad yang tersalah alamat hingga mempertemukan dua jiwa dalam kisah cinta penuh emosi dan pengembaraan di bumi New Zealand.

Telefilem ini boleh ditonton secara eksklusif di aplikasi UTV (Usanita TV), yang menampilkan pelbagai kandungan tempatan berkonsep kekeluargaan, cinta dan nilai masyarakat.

Komen
Loading...