Ikuti Kami:

UTeM Sumbang Lebih 1,000 ‘UTeM Shield’

UTeM Sumbang Lebih 1,000 ‘UTeM Shield’

MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menyerahkan sumbangan lebih seribu unit kelengkapan pelindung muka yang dikenali sebagai ‘UTeM Shield’ kepada sektor korporat dan agensi kerajaan pada hari ini.

Majlis penyerahan UTeM Shiled tersebut telah berlangsung di Bangunan Canselori, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka yang disampaikan sendiri oleh Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim kepada wakil-wakil pihak terbabit.

Dr Raha berkata, ini adalah antara inisiatif kami memberikan sumbangan UTeM Shield yang kami hasilkan sendiri dengan menggunakan teknologi dan kepakaran yang kami miliki.

Jelasnya, UTeM Shield ini diserahkan kepada pihak perbankan yang terdiri daripada Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Simpanan Nasional, Bank Rakyat serta Bank MBSB.

Katanya, setiap bank berkenaan menerima seratus unit UTeM Shield yang boleh diguna pakai oleh petugas mereka sewaktu berurusan dengan orang ramai selari dengan musim penularan pandemik kini.

“Selain itu sebanyak seratus unit UTeM Shield turut diserahkan kepada Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) manakala seratus unit juga untuk pihak industri iaitu syarikat Konica Minolta,” ulas beliau.

Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim (kiri) menyampaikan sumbangan UTeM Shield kepada pihak korporat dan agensi kerajaan.

Menurut Dr Raha, pada majlis yang sama kami turut mernyerahkan sebanyak dua ratus unit kepada setiap Pusat Kuarantin di negeri Melaka yang bertempat di CREATE JKR Alor Gajah dan sebuah lagi bertempat di salah sebuah hotel di Ayer Keroh.

“Pelindung muka yang dinamakan UTeM Shield itu dihasilkan sepenuhnya di Makmal Teknologi Plastik, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan UTeM yang kini mempunyai mesin industri bertaraf dunia.

“UTeM Shield ini dihasilkan oleh pasukan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan UTeM itu direka dengan menggunakan kaedah teknikal dan teknologi acuan suntikan plastik.

“Reka bentuk rangka utama UTeM Shield ini dibangunkan susulan perbincangan dan maklum balas bersama pegawai perubatan dari Unit Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar, Jabatan Kesihatan negeri bagi memastikannya memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seterusnya mengurangkan risiko jangkitan terhadap pasukan hadapan CovidD-19,” katanya.

Turut hadir pada majlis penyerahan tersebut adalah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof Madya Nurulfajar Abd Manap, Penolong Naib Canselor Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti UTeM, Prof Madya Mohd Rahimi Yusoff serta Bendahari UTeM Khairul Taib.

Komen
Loading...