Ikuti Kami:

Usanita Entertainment Lancar UTV, Platform OTT Baharu

Usanita Entertainment Lancar UTV, Platform OTT Baharu

Usanita Entertainment kini melakar sejarah tersendiri dalam dunia hiburan digital tanah air dengan pelancaran UTV, sebuah platform penstriman OTT (Over-The-Top) baharu yang bakal dilancarkan secara rasmi hujung Mei ini.

Diilhamkan untuk memenuhi permintaan terhadap kandungan tempatan yang segar dan menyentuh emosi, UTV membawa tagline “Stream For You”, menggambarkan fokus terhadap pengalaman penonton yang lebih peribadi, inklusif dan autentik.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Hasan, UTV merupakan hasil visi untuk memperluas peluang bagi penggiat seni Malaysia mempamerkan karya mereka di pentas digital.

“UTV bukan sekadar platform hiburan. Ia adalah ruang untuk menonjolkan suara rakyat Malaysia, khususnya bakat-bakat tempatan dan wanita, agar karya mereka mendapat pengiktirafan sewajarnya,” katanya.

UTV akan menawarkan pelbagai kandungan premium seperti drama bersiri tempatan, filem asli, dokumentari, telefilem, bual bicara dan rancangan gaya hidup — semuanya menepati selera generasi digital masa kini.

Menambah kekuatan kreatif, Usanita Entertainment turut melantik Erma Fatima, pengarah dan penerbit tersohor tanah air, sebagai Channel Advisor bagi memastikan setiap produksi UTV menepati standard kualiti tinggi.

Sebagai sebahagian daripada usaha promosi awal UTV, Usanita Entertainment turut mengumumkan dua persembahan eksklusif hasil kolaborasi dengan Mask Team yang akan berlangsung di NERO Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC):

– An Evening With Nadeera Zaini – 30 Mei 2025 (Jumaat)
– Hael Husaini Antonim Night – 31 Mei 2025 (Sabtu)

Kedua-dua persembahan dijadualkan bermula jam 8:30 malam hingga 10:30 malam dan dijangka menampilkan persembahan intim serta emosional daripada artis-artis berbakat besar.

Majlis pengumuman ini diadakan dalam suasana meriah sempena Sambutan Aidilfitri Usanita Sdn Bhd di Grand Hyatt Kuala Lumpur.

Turut mencuri perhatian ialah kehadiran barisan selebriti tanah air termasuk Fattah Amin, Sophia Albarakbah, Nora Danish, Awal Ashaari, Scha Alyahya, Aina Abdul, Zoey Rahman, Datuk Rossa, Hael Husaini dan Nadeera.

Dengan pelancaran UTV, Usanita Entertainment terus mengukuhkan langkah sebagai peneraju hiburan digital tempatan — menawarkan lebih daripada sekadar tontonan, tetapi juga inspirasi dan pengiktirafan terhadap seni dan suara rakyat Malaysia.

Komen
Loading...