Ikuti Kami:

Uqasha Senrose Utamakan Keluarga, Mahu Lihat Anak Membesar Di Depan Mata

Uqasha Senrose Utamakan Keluarga, Mahu Lihat Anak Membesar Di Depan Mata

Walaupun kembali aktif di dunia seni, Uqasha Senrose tetap mengutamakan puteri sulungnya, Hawra Uqaira.

Setelah berehat selama 8 bulan selepas melahirkan, Uqasha kini kembali dengan semangat baru, bukan sahaja sebagai pelakon, tetapi juga sebagai ibu.

Bagi Uqasha atau nama sebenarnya, Nik Zaris Uqasha Nik Sen, memastikan anaknya membesar dengan penuh kasih sayang adalah keutamaannya yang utama.

“Seboleh-bolehnya saya mahu memastikan Hawra membesar di depan mata saya. Walaupun sibuk dengan penggambaran, saya tetap luangkan masa untuk pastikan dia makan, tidur, dan selesa setiap hari,” ujarnya.

Menggabungkan peranan sebagai ibu dan pelakon bukanlah sesuatu yang mudah, bagi Uqasha, ia adalah satu pengalaman yang sangat berharga.

“Memang penat, tapi penat yang berbaloi. Bila habis syuting, motivasi saya adalah nak balik rumah dan peluk anak,” tambahnya.

Uqasha juga berkongsi rutinnya sebagai seorang ibu, termasuk bangun beberapa kali pada waktu malam untuk menyusukan anak dan memastikan anaknya tidur dengan selesa.

“Kadang-kadang saya rindu nak tidur lena seperti dulu, tetapi bila tengok anak membesar di depan mata, semua penat itu rasa berbaloi,” katanya.

Uqasha ditemui media di majlis tayangan perdana filem Bisikan Dosa yang di TGV KLCC, Kuala Lumpur pada Isnin.

Dalam filem Bisikan Dosa, Uqasha membawa watak hantu yang penuh cabaran dari segi fizikal dan emosi.

Salah satu cabaran utama adalah proses solekan yang memakan masa sehingga dua jam setiap hari sebelum penggambaran bermula.

Namun, Uqasha melihat cabaran ini sebagai peluang untuk mengasah bakat lakonannya.

Walaupun jadual penggambaran yang padat dan watak yang memerlukan fokus yang tinggi, Uqasha tetap memastikan anaknya, Hawra, menjadi keutamaan.

“Saya pernah minta produksi supaya habiskan penggambaran sebelum tengah malam supaya saya dapat uruskan Hawra. Mereka sangat memahami,” tambah Uqasha.

Pada masa yang sama, isteri kepada pelakon Kamal Adli ini meluahkan rasa syukur kerana dikelilingi oleh keluarga yang penuh kasih sayang terhadap anaknya dan sentiasa bersedia untuk membantu apabila diperlukan.

“Alhamdulillah, saya ada Nelydia dan Raisya. Sekarang, Raisya juga sudah punyai anak. Sebelum ini, mereka berdua akan datang ke rumah seawal pagi untuk menjaga Uqaira,”

“Alhamdulillah, saya dikurniakan adik-adik yang penyayang,” ujarnya.

Filem Bisikan Dosa mengisahkan tentang Sarimah (lakonan Sara Ali), seorang wanita yang memulakan kehidupan baharu di Kuala Lumpur selepas kehilangan anak dan dikhianati suami.

Kehidupannya berubah apabila dia menjadi pembantu rumah kepada keluarga Ayden (lakonan Farid Kamil), di mana dia mula diganggu oleh roh Zara (lakonan Uqasha Senrose), arwah isteri Ayden.

Filem ini akan mula menghantui di pawagam seluruh Malaysia bermula 9 Januari 2025.

Komen
Loading...