Sekadar suka-suka berkongsi cara menyediakan biskut Arab di Instagram (IG) Story, Uqasha, akhirnya tidak menang tangan memenuhi tempahan peminat dan pengikut laman sosial.
“Sejak beberapa hari lalu, saya tak menang tangan apabila tempahan diterima dalam mesej langsung IG bertubi-tubi.
“Bayangkan dalam sehari, saya perlu siapkan antara 100 hingga 200 balang biskut… Memang tak sangka.
“Mereka belum pernah merasa biskut itu tetapi yakin mahu membeli. Tidak terfikir langsung atau berniat hendak menjual… Tiba-tiba saya jadi penjual biskut raya,” katanya
Uqasha atau nama sebenar, Nik Zaris Uqasha Nik Sen berkata, dia mahu mengisi masa lapang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Uqasha berkata, dia menggunakan resipi turun-temurun nenek moyang bagi menghasilkan biskut Arab diberi nama Something Sweet by The Four Sisters.
“Pada mulanya, saya berkira-kira hendak menjual kerana kos menghasilkan biskut ini bukan murah, apatah lagi menggunakan bahan mentah minyak sapi.
“Fikir dua tiga kali hendak menjualnya. Tetapi saya terima banyak permintaan. Pada permulaan, tiga hari berturut-turut mesej diterima untuk menempah biskut.
“Jadi, saya putuskan menjualnya dengan stok terhad. Tak sangka ramai mahu terus membeli, bukan sebalang, malah enam hingga tujuh balang seorang,” katanya.
Namun, Uqasha terpaksa menolak permintaan dari Sabah, Sarawak, Singapura dan Brunei berikutan kos penghantaran tidak berbaloi.
“Walaupun ada yang berkeras membeli tanpa mengira harga, saya takut biskut sampai dengan tidak sempurna,” katanya.
Uqasha beruntung kerana keluarga membantu kerja menyiapkan tempahan biskut.
“Nelydia dan Raysha juga tolong buat biskut bersama ahli keluarga lain. Sekadar dihebahkan dalam IG sendiri pun sudah tidak menang tangan.
“Bayangkan jika Nelydia dan Raysha juga mempromosikan biskut ini,” katanya yang gembira beroleh pengalaman baharu menjadi penjual biskut raya.
Sumber : Berita Harian