Ikuti Kami:

Universal Music Malaysia Ungguli AIM24, Kukuh Dominasi Industri Muzik

Universal Music Malaysia Ungguli AIM24, Kukuh Dominasi Industri Muzik

Universal Music Malaysia (UM) bersama Faithful Music muncul sebagai pemenang terbesar di Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) dengan kejayaan merangkul 10 trofi berprestij, sekali gus mengekalkan reputasi sebagai syarikat rakaman nombor satu negara.

Antara kemenangan utama termasuk Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik menerusi lagu Masing-Masing (Ernie Zakri & Ade Govinda), Kulit Single/Album Terbaik untuk Iman (Irfan Ramos), Rakaman Lagu Terbaik melalui Aura (John Jeeves), Album Terbaik dengan Belagu II (Dayang Nurfaizah – terbitan Aubrey Suwito, edaran UM) serta Lagu Paling Tinggi Distrim juga menerusi Masing-Masing.

Album Belagu II turut menerima Dana Kandungan Digital (DKK) bernilai RM200,000 daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures, menjadikan pencapaian itu lebih bermakna buat Dayang Nurfaizah dan UM.

AIM24 juga memberi penghormatan tertinggi kepada Dato’ Sri Siti Nurhaliza dengan penganugerahan Sri Wirama, sebagai pengiktirafan lebih tiga dekad sumbangan beliau dalam industri muzik.

Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, berkata kejayaan ini membuktikan strategi syarikat dalam mengangkat bakat tempatan ke persada antarabangsa berada di landasan tepat.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha kolektif artis, komposer dan penerbit. Kami percaya keseimbangan antara artis mapan dan bakat baharu menjadi kunci kejayaan UM,” katanya.

Selain UM, nama besar Faizal Tahir turut menyerlah dengan kemenangan dalam empat kategori termasuk Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik (Campak Bintang bersama Datuk M Nasir) dan Lagu Perpaduan Terbaik (Bendera).

Malam kemuncak AIM24 turut menyaksikan persembahan memukau barisan artis UM, termasuk DOLLA bersama Tobii dari Def Jam Thailand, kolaborasi Ernie dengan Anggi Marito dari UM Indonesia, serta persembahan istimewa bersama Ade Govinda dari MyMusic Records.

AIM24 juga mencipta sejarah apabila bakat baharu seperti Hanis Rafi, Iqie Hugh, Glowrush, Fahimi dan Firdaus Rahmat buat pertama kali diraikan, menandakan kesinambungan generasi dalam industri muzik tanah air.

Komen
Loading...