Universal Music Akur Teguran, Video Muzik Terbaharu Dolla Ditarik Balik Serta-Merta
- oleh MDaily Editor
- 16 Nov 2025 3:46 am
Universal Music Malaysia menarik balik video muzik terbaharu kumpulan Dolla daripada semua platform digital selepas mengambil maklum kebimbangan orang ramai berhubung penampilan anggota kumpulan itu yang dianggap tidak sesuai serta menimbulkan sensitiviti penonton.
Keputusan itu turut dibuat susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, yang menekankan kepentingan menjaga kesopanan dan sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini.
Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, berkata tindakan menurunkan video muzik berkenaan dibuat selepas penelitian semula kandungan produksi dan maklum balas daripada masyarakat.

“Sebagai syarikat rakaman yang beroperasi dalam ekosistem majmuk seperti Malaysia, kami menghormati nilai budaya, sensitiviti agama dan pandangan peminat. Kami mengambil serius semua maklum balas dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang kekhilafan yang berlaku.
“Kami percaya kreativiti dan ekspresi seni perlu seiring dengan kepekaan terhadap norma setempat. Oleh itu, keputusan ini adalah langkah wajar demi menjaga keharmonian serta rasa hormat semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Universal Music Malaysia turut memaklumkan bahawa setiap perancangan kreatif selepas ini akan melalui proses semakan lebih ketat, termasuk perbincangan dalaman serta konsultasi profesional bagi mengelakkan isu sama berulang.
Syarikat itu turut merakam penghargaan kepada semua peminat dan masyarakat atas maklum balas terbuka serta konstruktif yang diberikan, dan berharap perkara tersebut dapat diselesaikan dengan baik tanpa menjejaskan hubungan antara artis, peminat serta komuniti muzik tempatan.




