Ikuti Kami:

UNIC Kembali Dengan Konsert ‘This Is UNIC’ Disember Ini

UNIC Kembali Dengan Konsert ‘This Is UNIC’ Disember Ini

Kumpulan nasyid kontemporari tersohor tanah air, UNIC, bakal kembali menggegarkan pentas besar menerusi konsert istimewa bertajuk “This Is UNIC: Live In Concert” yang dijadual berlangsung pada 20 Disember 2025 di Idea Live Arena, Kuala Lumpur.

Konsert anjuran Triple Am Global ini menjadi penanda penting dalam perjalanan lebih dua dekad UNIC di persada seni tanah air.

Ia juga merupakan konsert solo penuh pertama selepas kumpulan itu kembali bersatu dengan barisan terkini yang dianggotai oleh Bazli Hazwan, Dr. Fitri Haris dan Fakhrul Radhi.

Ketua Pegawai Eksekutif Triple Am Global, Nursyaqif Aimer, berkata pihaknya terpanggil untuk menganjurkan konsert tersebut sebagai tanda penghargaan terhadap keikhlasan UNIC dalam perjuangan menyebarkan dakwah melalui muzik.

“Kami melihat semangat dan ketekunan UNIC dalam menyampaikan mesej dakwah secara konsisten selama lebih dua dekad. ‘This Is UNIC’ bukan sekadar konsert, tetapi simbol kekuatan, kesetiaan dan kasih antara artis serta peminat,” katanya.

Ketua kumpulan UNIC, Bazli Hazwan, berkata konsert ini menjadi ruang istimewa untuk menghargai sokongan peminat yang sentiasa bersama mereka sejak awal penubuhan.

“Matlamat konsert ini amat peribadi buat kami. Selepas lebih dua dekad bersama peminat, inilah masanya untuk meraikan perjalanan panjang UNIC dengan mereka yang setia sejak awal,” katanya.

Menurut Bazli, UNIC mahu mengembalikan semangat nasyid ke pentas besar dan membuktikan muzik dakwah masih relevan serta mampu menyatukan masyarakat pelbagai lapisan.

Ahli kumpulan UNIC, Dr. Fitri Haris, berkata konsert berkenaan bukan sekadar hiburan, sebaliknya sebuah perjalanan muzik dan spiritual yang membawa penonton menyusuri evolusi UNIC dari awal kemunculan hingga kini.

“Kami mahu penonton merasai setiap fasa perkembangan UNIC daripada melodi lama yang membentuk identiti kami hinggalah ke susunan moden yang lebih segar. Setiap lagu membawa kenangan dan mesej tersendiri,” katanya.

Tambahnya, persembahan akan disokong dengan susunan muzik baharu dan iringan live band di bawah pimpinan pengarah muzik berpengalaman bagi memastikan pengalaman persembahan yang lebih bertenaga dan berjiwa.

Ahli kumpulan, Fakhrul Radhi, pula menjelaskan bahawa UNIC mahu memastikan penonton bukan hanya menonton, tetapi benar-benar menghayati keseluruhan pengalaman konsert.

“Kami mahu penonton merasai keseluruhan pengalaman daripada visual, bunyi hingga mesej yang ingin kami sampaikan. Semua persiapan dilakukan dengan teliti bagi memastikan persembahan terbaik,” katanya.

Konsert itu akan menampilkan lagu-lagu popular UNIC seperti “Demi Cinta Suci”, “Hanya Tuhan Yang Tahu” dan “Ainul Mardhiah”, yang akan diberi nafas baharu.

Beberapa artis jemputan yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan kumpulan itu turut dijangka tampil membuat persembahan istimewa.

Bazli berkata UNIC turut menyediakan kejutan khas buat peminat yang hadir ke konsert tersebut.

“Insya-Allah, akan ada kejutan malam itu. Kami ingin mencipta suasana penuh kasih dan nostalgia, bukan hanya antara kami dan peminat tetapi juga bersama rakan artis yang pernah menjadi sebahagian daripada kisah UNIC,” katanya.

Tiket rasmi konsert sudah mula dijual melalui laman web www.ticket2u.com.my/ThisIsUNICdengan harga antara RM89 hingga RM249.

Komen
Loading...