UMTSEA-TAC Legacy Perkukuh Pembangunan Bakat Digital, Fokus Pensijilan AWS & AI
- oleh Mohd Indera
- 18 Jul 2025 1:04 pm

UMTSEA Sdn Bhd (UMTSEA), cabang korporat Universiti Malaysia Terengganu (UMT), memperkukuh peranannya sebagai peneraju pembangunan bakat masa depan menerusi kerjasama strategik bersama TAC Legacy Sdn Bhd (TAC Legacy) bagi memperkasa program pensijilan profesional dalam bidang teknologi awan (cloud) dan kecerdasan buatan (AI).
Melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) yang berlangsung hari ini, kedua-dua pihak bersetuju berganding bahu membangunkan ekosistem latihan bertaraf antarabangsa yang memfokuskan kepada pensijilan profesional berimpak tinggi, antaranya Amazon Web Services (AWS) yang diiktiraf di peringkat global.
Usaha ini bertujuan melahirkan bakat tempatan yang lebih bersedia dengan kemahiran relevan, seiring dengan permintaan pasaran kerja digital yang semakin pesat membangun.
Di bawah kerjasama ini, TAC Legacy akan bertindak sebagai penyedia latihan utama, memanfaatkan kepakaran dan jaringan antarabangsa bersama AWS, manakala UMTSEA akan memacu pengambilan peserta, promosi serta menjalin jaringan strategik bersama pihak industri dan akademia.
Ketua Pegawai Eksekutif UMTSEA, Erwina A. Ghafar berkata, usaha ini selari dengan aspirasi nasional untuk melahirkan tenaga kerja mahir serta memperkukuh daya saing negara di era ekonomi digital.
“UMTSEA mahu menjadi pemacu utama kepada usaha pembangunan bakat masa depan melalui kerjasama dengan industri. Kerjasama ini bukan sahaja membuka akses lebih luas kepada pensijilan profesional global, malah menghubungkan bakat tempatan dengan keperluan sebenar industri,” katanya.
“Kerjasama ini juga mengangkat peranan UMTSEA sebagai jambatan antara dunia akademik dan keperluan industri sebenar, memastikan pelajar bukan sahaja memiliki teori tetapi juga kemahiran praktikal yang menepati keperluan pasaran kerja masa kini.” tambahnya.
Beliau turut menambah bahawa pensijilan antarabangsa seperti AWS ini penting kerana ia memberi kredibiliti dan pengiktirafan global kepada graduan UMTSEA, sekaligus membuka lebih banyak peluang pekerjaan di dalam dan luar negara.
“Kami mahu lebih ramai bakat tempatan bersedia untuk bukan sekadar cabaran domestik, tetapi juga berdaya saing di peringkat antarabangsa.” katanya lagi.
Pengarah TAC Legacy, Dato’ Sri Nor Ahmed Salih @ Anas Abdullah pula menegaskan, MoU ini bukan sekadar tandatangan di atas kertas tetapi komitmen nyata dalam melahirkan tenaga kerja tempatan bertaraf antarabangsa, khususnya dalam bidang teknologi awan dan AI.
“Kami percaya masa depan negara bergantung kepada usaha membina bakat bersedia industri. Kerjasama ini adalah langkah penting ke arah melahirkan graduan dengan kemahiran praktikal yang memenuhi keperluan pasaran kerja,”
“Kami melihat UMTSEA sebagai rakan strategik yang serius untuk memacu inisiatif pembangunan bakat digital negara. Melalui jaringan global kami, kami yakin dapat membawa lebih banyak peluang kepada para pelajar dan profesional tempatan.” katanya.
Hadir sama, Pengurus Negara AWS Public Sector Malaysia, Hafiz Hassan menyambut baik inisiatif ini yang disifatkan selari dengan keperluan negara dalam memacu pembangunan tenaga kerja mahir di bidang cloud dan AI.
“Gabungan pensijilan cloud dan AI akan memberi kelebihan besar kepada pelajar bagi menghadapi landskap pekerjaan masa depan yang lebih mencabar,”
“Kami di AWS melihat Malaysia sebagai negara yang mempunyai potensi besar dalam bidang teknologi dan bakat. Dengan sokongan rakan seperti UMTSEA dan TAC Legacy, kami yakin lebih ramai rakyat Malaysia akan bersedia mendepani gelombang teknologi baharu.” katanya.
MoU ini akan berlangsung selama tiga tahun, merangkumi penawaran program pensijilan, pembangunan pusat latihan fizikal dan maya, serta kerjasama penjenamaan bersama.
Kedua-dua pihak turut terbuka meneroka bidang kerjasama baharu yang seiring dengan dasar negara serta keperluan industri.
UMTSEA yang berpengkalan di Petaling Jaya terus mengorak langkah sebagai hab latihan eksekutif negara melalui pelbagai program profesional termasuk MBA, program intensif Bahasa Inggeris, mobiliti global dan pensijilan industri.
TAC Legacy pula aktif mempercepat transformasi digital negara melalui kepakaran dalam teknologi awan, keselamatan siber, kecerdasan buatan serta teknologi pendidikan, selain menjadi Select Tier Partner AWS dan rakan strategik kepada Instructure (Canvas LMS) di Malaysia.
Kerjasama ini membuktikan sinergi antara pendidikan dan industri mampu melonjakkan pembangunan bakat digital negara, seiring aspirasi Malaysia menuju ekonomi digital berdaya saing.