UMMY, IPTA jalin kerjasama strategik lahirkan ikon muzik menerusi ‘Bintang Uni-Verse’
- oleh MDaily Editor
- 29 Jan 2026 3:32 pm
Universal Music Malaysia (UMMY) melangkah setapak ke hadapan dalam memperkasakan bakat seni di menara gading menerusi pelancaran program pencarian bakat, ‘Bintang Uni-Verse’.
Inisiatif yang turut mendapat kerjasama L.Y. Music Factory dan Faithful Music itu bertujuan menjadi platform strategik bagi menghubungkan dunia akademik dengan realiti industri muzik profesional.
Majlis pelancaran edisi pertama itu dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Binti Azman, di sini semalam.
Pengarah Urusan UMMY, Kim Lim berkata, program berkenaan bukan sekadar pertandingan nyanyian biasa, sebaliknya ia menawarkan pendedahan dan bimbingan industri yang bernilai kepada mahasiswa.
”Peserta akan memperoleh pendedahan dan pengalaman industri yang sangat bernilai. Ini adalah platform di mana bakat bertemu peluang.
”Harapan terbesar kami adalah untuk memperkukuh jaringan strategik antara universiti awam di Malaysia dengan industri muzik tempatan, sekali gus membentuk generasi artis seterusnya di peringkat global,” katanya.

Sebagai permulaan, UMMY telah menandatangani kerjasama strategik bersama lima universiti terkemuka iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Sementara itu, Pengarah Kreatif L.Y. Music Factory, L.Y., menyifatkan ‘Bintang Uni-Verse’ sebagai jambatan penting dalam proses pemindahan ilmu daripada pemain industri kepada pelajar.
”Apa yang menjadikan program ini istimewa adalah elemen pemindahan ilmu secara langsung. Kita mahu membina generasi profesional muda yang mempunyai personaliti kukuh dan potensi jangka panjang,” jelasnya.
Majlis tersebut turut diserikan dengan persembahan artis naungan UMMY termasuk Nuha Bahrin, Ismail Izzani dan Mohsein Kush.
Bagi mahasiswa yang berminat, maklumat lanjut mengenai tarikh uji bakat dan jadual jelajah kampus akan diumumkan dalam masa terdekat menerusi platform media sosial rasmi Universal Music Malaysia.




