Ikuti Kami:

Umairah Harap ‘Sayap’ Terbang Tinggi Di Hati Peminat

Umairah Harap ‘Sayap’ Terbang Tinggi Di Hati Peminat

Penyanyi muda, Umairah atau lebih dikenali sebagai Umai meletakkan harapan besar agar single terbarunya berjudul Sayap mampu terbang tinggi di hati peminat dan menjadi titik permulaan kukuh dalam perjalanan seninya.

Di bawah naungan SN Legacy Sdn Bhd milik Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan edaran Universal Music Malaysia, Sayap menandakan langkah serius Umairah selepas kemunculan sulungnya menerusi lagu raya, Tak Balik Raya.

Walaupun masih bergelar pelajar sekolah, Umairah atau Ummi Umairah binti Abdullah, 14, menggunakan cuti persekolahan untuk mempromosikan single tersebut sambil menekankan kepentingan membahagikan masa antara pelajaran dan karier seni.

“Harapan saya, saya berharap peminat di luar sana yang menunggu keluaran single ini akan suka dengan lagu saya. Saya juga harap dapat menerima sokongan positif supaya saya lebih bersemangat menghasilkan lagu-lagu seterusnya,”

“Saya sangat gembira kerana ini adalah kesempatan besar buat saya. Sebagai pelajar berusia 14 tahun, saya bangga dengan usaha yang telah dilakukan hingga akhirnya dapat membuahkan hasil.” katanya.

Dicipta oleh Resa Husin dan Farouk Roman, Sayap mengangkat tema cinta yang indah namun berakhir dengan kehilangan. Biarpun masih muda, Umairah berkata melodi dan lirik lagu itu cukup menyentuh jiwanya hingga mampu memberi penghayatan sepenuh hati.

Sementara itu, penyanyi nombor satu negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, yang juga pemilik SN Legacy Sdn Bhd, melahirkan rasa bangga dengan pencapaian awal Umairah.

“Saya turut rasa gembira dan berbangga dengan pencapaian Umairah. Ini permulaan untuk dia bermula dengan single terbaru Sayap. Sebelum ini dia muncul dengan lagu raya, jadi Sayap ini pula penentu untuk dia terus berada dalam industri muzik dengan karya-karya yang boleh mengangkat namanya,”

“Insya-Allah, kita juga ada perancangan untuk menghasilkan album penuh dan mungkin berduet bersama saya pada masa depan. Malah, Umairah ada kelebihan kerana fasih berbahasa Mandarin, kita juga rancang untuk hasilkan versi Mandarin bagi lagu Sayap, namun buat masa ini fokus diberikan kepada versi bahasa Melayu agar lebih kukuh di pasaran tempatan.” katanya.

Pelancaran Sayap juga menjadi bukti kesungguhan SN Legacy Sdn Bhd dan Universal Music Malaysia dalam mencungkil bakat generasi muda, sekali gus memperkenalkan Umairah sebagai wajah baharu dalam industri muzik tempatan.

Sayap kini boleh didapati di semua platform digital mulai hari ini, manakala muzik video rasmi akan ditayangkan di saluran YouTube Universal Music Malaysia.

Foto Oleh: Subky Hj Bebit.

Komen
Loading...