Ultraman ARC Tampil Dengan Filem Baharu, The Clash Of Light And Evil
- oleh Mohd Indera
- 13 Jul 2025 12:55 pm

Francais adiwira ikonik Jepun, Ultraman, kembali mencuri perhatian peminat menerusi filem terbaharu mereka bertajuk Ultraman ARC The Movie: The Clash of Light and Evil yang bakal ditayangkan secara rasmi di seluruh rangkaian TGV Cinemas bermula 19 Julai 2025.
Filem ini diarahkan oleh Takanori Tsujimoto dan menampilkan barisan pelakon popular Jepun antaranya Yuki Totsuka, Sho Kaneta, Kaho Mizutani, Koichiro Nishi, Shoki Nakayama, Hinako Tanaka, Naoto Takenaka, Yuya Hirose dan Miki Mizuno.
Lebih istimewa, tayangan ini menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya tanpa sarikata bagi memberikan pengalaman tontonan lebih dekat kepada peminat tempatan.
Ultraman ARC The Movie: The Clash of Light and Evil memaparkan kisah baharu yang memfokuskan konflik antara kuasa cahaya dan kejahatan yang mengancam keseimbangan alam semesta.
Watak utamanya, Yuma Hize, menerima cabaran daripada seorang lelaki misteri dari angkasa yang bertanya: “Adakah kamu mempunyai apa yang diperlukan untuk menjadi seorang wira?”
Pertanyaan itu membawa Yuma ke dalam dunia yang penuh cabaran melangkaui batasan imaginasi, dengan taruhan yang besar kehilangan kuasa Ultraman ARC jika dia gagal.
Sebagai anggota pasukan SKIP, Yuma berganding bahu mempertahankan Bandar Hoshimoto daripada ancaman kaiju gergasi dan makhluk asing yang membawa kemusnahan.
Namun, musuh misteri bernama Sascal terus memanipulasi emosi dan kekuatan Yuma melalui cabaran demi cabaran yang menguji ketahanan mental serta fizikalnya. Pertempuran di dunia nyata dan dimensi songsang yang memutarbelitkan masa memaksa Yuma berdepan ujian terbesar demi melindungi masa depan manusia.
Selain aksi mendebarkan dan visual moden bertaraf antarabangsa, filem ini turut mengetengahkan tema kekeluargaan, persahabatan dan keberanian dalam memikul amanah sebagai wira sejati.
Bagi memeriahkan lagi tayangan filem ini, TGV Cinemas telah menganjurkan satu sesi tayangan media khas pada Jumaat lalu dengan kehadiran istimewa kostum rasmi Ultraman ARC dan Guil ARC yang diterbangkan khas dari Jepun.
Kostum ini bukan sahaja menjadi tarikan utama acara tersebut, malah memberi peluang kepada wakil media dan peminat bergambar bersama simbol ikonik francais berkenaan.
Lebih menarik, tayangan Ultraman ARC The Movie: The Clash of Light and Evil turut menawarkan episod pertama siri baharu Ultraman Omega secara eksklusif buat penonton yang hadir.
Sebahagian dari kempen “House of Heros”, Ultraman ARC The Movie: The Clash of Light and Evil akan ditayangkan bermula 19 Julai ini di semua pawagam TGV Cinemas seluruh negara. Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, layari www.tgv.com.my.