Ikuti Kami:

Ulasan: The Fantastic Four: First Steps Penuhi Harapan Peminat Komik

Ulasan: The Fantastic Four: First Steps Penuhi Harapan Peminat Komik

FOTO: Marvel Studios/MARVEL STUDIOS.

Selepas beberapa cubaan yang kurang berjaya dalam dekad lalu, Fantastic Four akhirnya kembali ke layar perak dengan versi yang dinantikan ramai dan kali ini, Marvel Studios berjaya menepati jangkaan peminat setia komik.

Diarahkan oleh Matt Shakman, filem ini bukan hanya sebuah reboot, tetapi juga satu penghormatan kepada karya asal ciptaan Stan Lee dan Jack Kirby yang berteraskan sains fiksyen serta diperkaya dengan elemen emosi dan nilai kekeluargaan yang mendalam.

Watak-watak utama seperti Reed Richards/Mr. Fantastic (Pedro Pascal), Sue Storm/Invisible Woman (Vanessa Kirby), Johnny Storm/Human Torch (Joseph Quinn) dan Ben Grimm/The Thing (Ebon Moss-Bachrach) dikembangkan dengan lebih mendalam menggambarkan dinamik kekeluargaan dan konflik dalaman seperti dalam komik klasik Marvel.

Antara elemen menarik yang mencuri perhatian peminat ialah kostum baharu pasukan Fantastic Four yang akhirnya kembali kepada rekaan asal komik berwarna biru cair dengan logo angka 4 putih di dada.

Selepas beberapa versi filem dengan kostum yang lebih gelap atau moden, langkah ini disambut baik sebagai bukti kesungguhan Marvel mengekalkan roh komik asal.

Filem ini tidak lagi menggunakan pendekatan ‘popcorn superhero’ seperti versi tahun 2005 dan 2015, sebaliknya tampil dengan jalan cerita yang lebih serius dan gaya visual yang lebih menarik.

Antara kejutan terbesar ialah kemunculan Silver Surfer versi wanita, yang dilakonkan oleh Julia Garner.

Pelakon berbakat besar ini memberikan interpretasi baharu kepada watak ikonik tersebut, membawa sisi emosional yang mendalam serta kehadiran yang mengancam tetapi penuh simpati. Ini merupakan perubahan signifikan berbanding versi terdahulu di mana watak ini digambarkan sebagai lelaki (Norrin Radd).

Lebih menarik, Galactus akhirnya ditampilkan dalam bentuk sebenar bukannya sekadar awan gergasi seperti versi 2007. Buat pertama kalinya, Fantastic Four berhadapan secara langsung dengan entiti pemakan planet itu, memberikan skala konflik yang lebih besar dan menakjubkan.

Kesan khas dalam filem ini sangat cemerlang, mengangkat setiap adegan aksi menjadi sesuatu yang mendebarkan. Arahan Shakman juga berjaya menyeimbangkan penceritaan karakter dan aksi tanpa mengorbankan satu sama lain.

Ia bukan sahaja mengubat kekecewaan masa lalu, tetapi juga membuka lembaran baharu dalam MCU, sekali gus memenuhi impian peminat komik yang selama ini menantikan adaptasi yang benar-benar adil buat “keluarga pertama Marvel”.

Sebahagian daripada kempen “Home of Heroes” anjuran TGV Cinemas, penonton yang menyaksikan filem ini di layar IMAX berpeluang menikmati promosi istimewa yang merangkumi barangan eksklusif seperti poster, syiling koleksi dan baucar makanan.

TGV Cinemas turut menganjurkan acara istimewa bertajuk “Fantastic Blue Party” yang akan berlangsung esok, 26 July di semua cawangan seluruh negara.

Acara ini menjanjikan pelbagai aktiviti menarik untuk para peminat, termasuk peluang memenangi hadiah utama berupa kerusi permainan edisi khas TTRacing Gaming Chair Fantastic 4 Edition.

Penonton juga boleh menikmati promosi istimewa serta mengambil bahagian dalam sesi bergambar bertemakan filem, menjadikan pengalaman menonton lebih meriah.

Dapatkan tiket anda sekarang di www.tgv.com.my.

Komen
Loading...