Ulasan Soundcore R60i NC: Penanda Aras Baharu Audio Mampu Milik
- oleh MDaily Editor
- 18 Dec 2025 11:52 am
Sejurus memegang bekas pengecasnya, binaan R60i NC terasa cukup solid dan premium di dalam genggaman.
Pasaran fon telinga nirwayar (TWS) di Malaysia kini semakin sengit, namun Soundcore, jenama audio di bawah naungan Anker, nampaknya sekali lagi berjaya mencuri tumpuan.
Melalui pengenalan Soundcore R60i NC, syarikat ini bukan sekadar menawarkan peranti audio biasa, tetapi menetapkan standard baharu bagi kategori peranti mampu milik yang berkualiti tinggi.
Dengan harga rasmi RM189, kami berpeluang menguji kehebatan TWS ini untuk melihat sejauh mana ia mampu bersaing dengan jenama gergasi lain.

Putik telinganya pula direka dengan bentuk ergonomik yang ringan, memastikan keselesaan maksimum walaupun dipakai dalam tempoh yang lama, termasuk ketika melakukan aktiviti fizikal seperti berlari.
Apa yang benar-benar membezakan model ini dengan pesaing dalam kelasnya adalah keupayaan Pembatalan Bunyi Aktif (ANC) yang sangat berkuasa.
Dengan kemampuan meredam bunyi sehingga 52dB, R60i NC berjaya menapis bunyi hingar persekitaran seperti bunyi enjin kenderaan atau suasana bising di pejabat dengan amat berkesan.
Teknologi Adaptive ANC yang disertakan juga bijak bertindak mengikut tahap kebisingan sekeliling secara automatik, satu ciri yang kebiasaannya hanya ditemui pada model premium.
Dari segi kualiti bunyi, sokongan kod audio LDAC pada peranti ini adalah satu kelebihan besar buat peminat muzik tegar. Ia membolehkan transmisi audio resolusi tinggi yang memberikan tekstur bunyi lebih terperinci dan jernih.

Soundcore R60i NC ditawarkan dalam empat pilihan warna yang elegan dan versatil.
Gabungan pemacu 11mm berlapis titanium dan teknologi BassUp pula menghasilkan dentuman bass yang mendalam tanpa menjejaskan kualiti vokal, menjadikannya sangat versatil untuk pelbagai genre muzik.
Menariknya lagi, peranti ini turut disuntik dengan elemen masa depan menerusi fungsi penterjemahan bahasa berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) yang boleh diakses melalui aplikasi Soundcore.
Dari segi ketahanan pula, ia tidak mengecewakan dengan jangka hayat bateri sehingga 50 jam secara keseluruhan. Bagi pengguna yang sentiasa mengejar masa, ciri pengecasan pantas membolehkan penggunaan selama 3.5 jam dengan hanya pengecasan selama 10 minit.
Secara keseluruhannya, Soundcore R60i NC adalah pilihan yang sangat berbaloi. Ia menggabungkan teknologi pembatalan bunyi bertaraf dunia, kualiti audio Hi-Res, dan ketahanan bateri luar biasa pada harga yang sangat kompetitif.
Bagi rakyat Malaysia yang mencari keseimbangan antara prestasi dan bajet, model ini adalah jawapannya.
Produk ini boleh didapati di stor rasmi Anker di Shopee dan Lazada pada harga RM189, atau serendah RM159 sewaktu tempoh promosi tertentu.




