Dua dekad selepas Ada Apa Dengan Cinta? (AADC) mencipta fenomena dan menjadi lambang cinta remaja era 2000-an, kisah ikonik itu kini bernafas kembali dalam wajah baharu menerusi Rangga & Cinta.
Naskhah ini bukan sekadar ‘reboot’, ia sebuah perjalanan emosi yang menghubungkan dua generasi melalui bahasa cinta, seni dan waktu.
Di tangan sutradara Riri Riza dan penerbit tersohor Mira Lesmana, roh AADC masih bernafas, tetapi kini dengan denyut yang lebih segar, lebih matang.
Menariknya, Nicholas Saputra, ikon Rangga generasi pertama, kini duduk di kerusi penerbit, seakan menyerahkan obor kisah cinta remajanya kepada wajah-wajah baharu.
El Putra Sarira dan Leya Princy tampil bukan sekadar menggantikan, tetapi menghidupkan semula jiwa Rangga dan Cinta dengan interpretasi yang lebih ‘real’, lebih sesuai dengan zaman penuh notifikasi ini.

Adegan muzikal dijahit halus, bagai helaian puisi yang mengalir di antara babak-babak cinta dan konflik dalaman.
Lagu-lagu asal yang pernah membelai jiwa penonton dahulu kini digarap semula oleh pasangan komposer legenda, Melly Goeslaw dan Anto Hoed, yang kembali menyumbang karya mereka untuk versi baharu ini.
Lagu-lagu seperti Ada Apa Dengan Cinta, Bimbang ,Suara Hati Seorang Kekasih dan Tentang Seseorang disusun semula dengan susunan muzik yang lebih sinematik, memberi keindahan yang mendalam pada setiap detik emosi.
Dan apabila pelakon sendiri menyanyikannya, ada sesuatu yang jujur terasa, seolah-olah mereka berbicara terus ke hati penonton.
Sinematografi filem ini menjadi saksi bahawa nostalgia boleh berpadu dengan teknologi moden tanpa kehilangan jati rasa. Warna-warna lembut, cahaya senja, dan pergerakan kamera yang halus menjadikan setiap babak seperti halaman diari yang dibuka perlahan.

Dibantu oleh pelakon muda berbakat termasuk Jasmine Nadya, Kyandra Sembel, Katyana Mawira, Daniella Tumiwa, Rafi Sudirman dan Rafly Altama.
Bukan sekadar Rangga dan Cinta, malah watak-watak pembantu seperti Alya, Maura, Milly, Karmen, Borne, dan Mamet juga di ‘casting’ dengan padanan pelakon yang tepat.
Rangga & Cinta bukan sekadar mengingatkan kita kepada kisah lama, ia menyoal semula makna cinta dalam dunia yang berubah pantas.
Dan di situ mungkin terletak keindahannya, ia tidak memaksa penonton untuk membanding, sebaliknya mengajak kita merasa semula meski setelah dua dekad berlalu.
Untuk peminat yang menonton naskhah asal pada tahun 2002, dan juga mereka yang belum pernah mengenal cinta antara Rangga dan Cinta, inilah masa untuk anda merasainya semula di layar perak.
Diedarkan oleh Primeworks Studios, Rangga & Cinta bakal menemui penonton bermula 6 November di pawagam seluruh negara. Antara filem wajib tonton!

Sinopsis
Filem ini mengisahkan tentang Cinta (Leya Princy), pelajar popular yang bukan sahaja berbakat, malah disayangi ramai.
Dirinya sentiasa dikelilingi gengnya, Alya (Jasmine Nadya), Maura (Kyandra Sembel), Milly (Katyana Mawira) dan Karmen (Daniella Tumiwa). Mereka sudah lama bersahabat akrab dan bersama-sama mengurus kelab majalah sekolah.
Suatu pagi, keputusan pertandingan puisi diumumkan di sekolah. Ramai menjangka Cinta sekali lagi akan membawa pulang kemenangan, tetapi keputusan kali ini mengejutkan semua.
Tak diduga, pemenangnya ialah Rangga (El Putra Sarira), pelajar misteri yang pendiam, gemar menyendiri dan jarang menjadi perhatian. Dari situlah kisah mereka bermula.




