Ulasan: Mission: Impossible – The Final Reckoning Memukau Dengan Ketegangan Teknologi Moden
- oleh Mohd Indera
- 2 hari lalu

Sebagai francais yang sudah bertahan selama lebih dua dekad, filem Mission: Impossible – The Final Reckoning sekali lagi membuktikan mengapa ia terus relevan dan mendebarkan.
Filem ini berjaya memberikan pengalaman menonton yang penuh aksi, disulami isu teknologi moden yang semakin mendapat perhatian global.
Berlatarbelakangkan dunia yang hampir musnah, The Final Reckoning mengangkat kisah ancaman kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) yang dikenali sebagai ‘Entiti’.
Ia digambarkan sebagai ancaman global yang mampu memanipulasi seluruh sistem digital dunia. Semua alat teknologi seperti telefon pintar, komputer peribadi, pengkalan data awam hingga sistem keselamatan menjadi mangsa manipulasi AI ini.
Apa yang menarik perhatian ialah ketegangan yang dihasilkan apabila dunia mula huru-hara, dan kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, Rusia, China dan lain-lain mula gelisah memikirkan langkah seterusnya.
Dalam keadaan dunia di ambang Perang Dunia Ketiga, Ethan Hunt, yang sekali lagi dilakonkan oleh Tom Cruise, bersama pasukannya diberikan misi yang hampir mustahil.
Mereka perlu mendapatkan cakera keras SSD yang mengandungi kod utama untuk melumpuhkan Entiti ini. Cakera keras tersebut dipercayai berada dalam sebuah kapal selam Sevastopol yang karam pada tahun 2012.
Filem ini juga berjaya mengangkat persoalan kritikal tentang ketergantungan manusia terhadap teknologi. Dengan kecerdasan buatan yang semakin maju, apakah risiko jika ia disalahgunakan? Bagaimana jika dunia tidak lagi mampu membezakan maklumat benar dan palsu kerana segalanya telah dimanipulasi?
Seperti biasa, Mission: Impossible terus mengekalkan standard tinggi dari segi penceritaan dan aksi. Adegan-adegan mendebarkan, perancangan taktikal yang bijak, dan isu-isu semasa yang digarap dengan rapi menjadikan filem ini sesuatu yang sangat dekat dengan dunia moden hari ini.
Bagi peminat francais ini, filem ini pasti tidak mengecewakan. Setiap plot terasa realistik dan relevan, menjadikannya pengalaman sinematik yang memuaskan. Elemen ketegangan dan aksi yang konsisten membuatkan penonton terus fokus sepanjang tayangan.
Penutupnya, Mission: Impossible The Final Reckoning bukan sahaja filem aksi biasa tetapi juga sebuah refleksi tentang potensi bahaya teknologi moden jika disalahgunakan.
Filem ini adalah sebuah karya yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga membuka mata terhadap cabaran masa depan dunia digital.
Filem ini amat disyorkan kepada peminat aksi dan mereka yang berminat dengan isu teknologi global.
Saksikan filem adiwira kegemaran anda di pawagam dengan teknologi IMAX with Laser dan sistem bunyi 12-saluran sempena kempen TGV Home of Heroes yang menyatukan para peminat filem adiwira.
Untuk maklumat lanjut mengenai acara, lokasi dan tempahan tiket, orang ramai boleh melayari www.tgv.com.my.
FOTO: Gareth Gatrel – © 2025 Paramount Pictures