
Filem La Tahzan arahan Hanung Bramantyo yang mula ditayangkan pada 21 Ogos 2025 ini hadir sebagai sebuah karya drama psikologi yang sarat emosi dan penuh kejutan.
Judulnya sendiri yang bermaksud “jangan bersedih” cukup menggambarkan perjalanan getir yang harus ditempuhi watak utama.
Naskhah ini mengangkat konflik rumah tangga dengan cara yang mendebarkan, menjadikan penonton sentiasa tertanya-tanya apa yang bakal berlaku seterusnya.
Menariknya, La Tahzan merupakan adaptasi daripada kisah benar yang pernah tular di TikTok karya penulis Elizasyifaa, yang sebelum ini mencetus fenomena melalui Ipar Adalah Maut.
Lebih istimewa, filem ini sekali lagi diarahkan oleh Hanung Bramantyo yang juga pengarah untuk Ipar Adalah Maut (2024), menjadikannya kesinambungan kreatif yang menarik antara dua naskhah besar adaptasi karya penulis sama.
Elemen realiti inilah yang membuatkan kisah ini lebih dekat dengan penonton kerana berakar daripada pengalaman sebenar yang pernah mencuri perhatian ramai di media sosial.
Filem ini mengisahkan tentang Alina (Marshanda), seorang isteri dan ibu yang hidup bahagia bersama keluarganya.
Namun, ketenangan itu mula tergugat apabila seorang pengasuh baharu, Asih (Ariel Tatum), hadir dan perlahan-lahan menjadi ancaman terhadap keharmonian rumah tangga.
Dari situ, penonton dibawa melalui perjalanan emosi yang penuh plot twist daripada rasa curiga, marah, simpati, hinggalah babak-babak yang menyesakkan dada.
Marshanda mempamerkan lakonan penuh emosi sebagai wanita yang rapuh tetapi kuat mempertahankan keluarga. Ariel Tatum pula cukup menonjol dalam peranan antagonis Asih, manipulatif namun sesekali menimbulkan simpati.
Deva Mahenra sebagai Reza, suami kepada Alina melengkapkan dinamika drama ini dengan persembahan bersahaja tetapi berkesan.
Hanung Bramantyo berjaya mengolah naskhah ini dengan tempo yang tepat tidak terlalu perlahan, namun cukup ruang untuk penonton menyelami dilema watak.
Sinematografinya juga menguatkan mood cerita dengan tona warna suram yang menggambarkan tekanan emosi dan ketegangan rumah tangga.
Menonton La Tahzan ibarat menaiki rollercoaster emosi penuh kejutan, mendebarkan, dan dalam masa yang sama, dekat dengan realiti kehidupan berumah tangga.
Walaupun terdapat pemotongan beberapa adegan panas untuk tayangan di Malaysia, ia sama sekali tidak mengganggu jalan cerita filem ini.
Sebuah “popcorn movie” yang penuh elemen dramatik yang mengikat perhatian, menjadikan penonton tidak senang duduk dari awal hingga akhir.
La Tahzan bukan sekadar drama keluarga biasa, tetapi juga sebuah refleksi tentang ujian hidup, kasih sayang dan ketabahan seorang wanita menghadapi badai rumah tangga.
Filem La Tahzan dibawakan oleh Antenna Entertainment akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 21 Ogos 2025.