Filem Klepet, terbitan Wawa Global Sdn Bhd dan arahan Indra Putra atau Sanji, tampil sebagai sebuah komedi aksi yang segar dan menghiburkan, sesuai untuk tontonan generasi muda.
Menampilkan gandingan tiga pelakon utama popular iaitu Aedy Ashraf, Meerqeen dan Nadhir Nasar, filem ini berjaya mempamerkan chemistry yang mantap di antara mereka sebagai trio sahabat yang penuh telatah dan spontan.
Walaupun jalan ceritanya santai, penceritaan Klepet tidak berbelit dan tempo filem ini konsisten, menjadikan setiap babak mudah diikuti. Lawak yang disuntik terasa semula jadi dan berjaya mengekalkan mood santai sepanjang filem.

Malam gala dan tayangan perdana filem ini telah diadakan di TGV, Suria KLCC semalam yang dihadiri wakil media, pempengaruh dan peminat bertuah.
Rata-rata memberi respon positif, memuji humor, keserasian pelakon serta jalan cerita yang menghiburkan.
Sidekick seperti Joey Daud, Eric Fuzi dan Namie SMY turut menyerlah dengan gelagat komedi mereka, membuatkan penonton kerap tergelak, manakala Aeril Zafrel tampil dengan persona garang namun tetap mengundang senyuman.

Kisah bermula dengan percutian santai Pali, Jani dan Wadi menggunakan motorhome. Namun, keseronokan mereka bertukar menjadi kekacauan apabila bertemu dengan Lola (lakonan Darina Porhun), seorang gadis misteri dari Ukraine.
Kehadiran Lola membawa mereka ke dalam situasi yang mencabar termasuk dikejar seorang pembunuh upahan (Aeril Zafrel) serta penemuan wang misteri, yang mengubah percutian mereka menjadi pengembaraan lucu dan penuh aksi.
Secara keseluruhan, Klepet adalah sebuah komedi pengembaraan ringan yang mudah dinikmati, mempamerkan gabungan pelakon yang serasi dan lawak yang menjadi.
Filem ini dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 27 November 2025. Dapatkan tiket di tgv.com.my. sekarang!
Foto Oleh: Faez.




