Ikuti Kami:

Ulasan: Keluang Man Angkat Identiti Superhero Tempatan ke Tahap Baharu

Ulasan: Keluang Man Angkat Identiti Superhero Tempatan ke Tahap Baharu

Filem Keluang Man arahan Anwari Ashraf, pencipta bersama trilogi filem Polis Evo, penulis Kahar : Kapla High Council serta merupakan pengarah dan showrunner drama premium popular Projek: High Council dan Projek: Anchor SPM ini dijangka mencetus fenomena apabila ia ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia mulai 29 Mei 2025.

Diadaptasi daripada siri animasi popular era 90-an yang diilhamkan oleh Kamn Ismail, filem ini menghidupkan semula ikon adiwira tempatan dengan pendekatan moden namun sarat elemen nostalgia yang pasti menggamit memori penonton yang membesar pada zaman tersebut.

Filem ini merupakan hasil kerjasama antara Astro Shaw, GSC, Idea River Run dan rakan strategik Wonda Kopi, serta produksi Pasal Productions.

Usaha ini bukan sekadar membawa kembali nostalgia, tetapi juga menghormati legasi dan sumbangan tokoh-tokoh penting dalam sejarah animasi tempatan.

Kisahnya berpusat pada Borhan, lakonan mantap oleh Nas Muammar Zar atau Nas-T, seorang anak angkat kepada Ahmad (Datuk Rosyam Nor) yang dibesarkan bersama Shamsir (Remy Ishak).

Konflik bermula apabila Shamsir menembak Ahmad dan Borhan, menyebabkan Borhan menghidapi ‘Dissociative Schizophrenia’ serta hilang ingatan. Dimasukkan ke hospital mental, Borhan kemudian bangkit sebagai Keluang Man demi menuntut keadilan dan memburu kebenaran.

Filem ini menerima pujian ramai kerana berjaya menampilkan naratif yang kuat dengan unsur emosi yang mendalam. Penonton akan dibawa menyelami babak-babak yang penuh aksi, namun pada masa sama diselitkan elemen kelakar dan menyentuh hati.

Keberanian Anwari menyelitkan nostalgia sebagai tema utama menjadi tarikan besar, apatah lagi dengan kemunculan semula watak ikonik dalam bentuk lebih realistik dan dramatik.

Nas-T dipuji kerana berjaya menghidupkan watak Borhan dengan penuh penghayatan. Pemilihannya sebagai teraju utama disifatkan sebagai keputusan yang tepat, selaras dengan penjelasan pengarah dalam video belakang tabir.

Sokongan kuat daripada pelakon berkaliber seperti Datuk Rosyam Nor dan Remy Ishak turut menambah kekuatan pada penceritaan.

Dari segi teknikal, Keluang Man menunjukkan kematangan produksi tempatan. Warna dan suasana disusun rapi melalui color grading yang menarik, manakala skor muzik dan kesan bunyi memperkukuh mood penceritaan.

Walaupun tidak bergantung sepenuhnya pada CGI atau VFX canggih seperti filem Hollywood, aksi dan visual dalam filem ini tetap memberi impak yang tersendiri.

Filem ini bukan hanya tentang adiwira menentang penjahat, tetapi tentang nilai budaya, kekeluargaan dan semangat rakyat Malaysia. Ia menjadi bukti bahawa karya tempatan mampu berdiri setanding dengan filem antarabangsa, tanpa perlu meniru acuan luar.

Namun, terdapat sedikit kebimbangan tentang bagaimana filem ini akan diterima oleh generasi muda, terutamanya Gen Z yang mungkin tidak mengenali latar asal animasi Keluang Man.

Walau bagaimanapun, dengan kekuatan penceritaan dan kreativiti pasukan produksi, Keluang Man diyakini mampu menarik khalayak pelbagai peringkat umur.

Usaha Anwari Ashraf bersama Astro Shaw dalam menghidupkan kembali adiwira tempatan melalui pendekatan sinematik moden wajar dipuji.

Ia bukan sekadar naskhah hiburan, tetapi simbol keberanian industri filem Malaysia dalam mempersembahkan cerita kita dengan cara yang bermaruah.

Filem ini menerima penilaian tinggi daripada pengkritik dan dijangka mencipta kejayaan box office.

Sebagai sebahagian daripada kempen TGV Home of Heroes yang bertujuan menyatukan para peminat filem adiwira, pawagam TGV di seluruh negara akan berubah wajah menjadi platform pertemuan peminat filem, cosplay dan budaya pop, menyatukan ikon global seperti adiwira Marvel dengan adiwira tempatan seperti Keluang Man dan wira budaya warisan seperti pendekar Silat Gayong.

Kempen ini turut memberi peluang kepada penonton menikmati pengalaman tontonan terbaik menerusi teknologi IMAX with Laser dan bunyi 12-saluran di beberapa lokasi terpilih seperti TGV Pavilion Bukit Jalil, TGV Sunway Velocity dan TGV KLCC. Lokasi IMAX lain turut termasuk Gurney Paragon, 1 Utama, Sunway Pyramid, Central i-City, Tebrau City dan Vivacity.

Untuk maklumat lanjut mengenai acara, lokasi dan tempahan tiket, orang ramai boleh melayari www.tgv.com.my.

Komen
Loading...