
Filem Isan Nikah dari Thailand membawa kisah cinta antara dua budaya dan agama yang berbeza.
Filem ini bukan sekadar komedi ia menyampaikan mesej penting tentang toleransi, hormat kepada perbezaan dan pentingnya restu keluarga.
Ia menunjukkan bahawa cinta bukan hanya soal perasaan, tetapi juga soal tanggungjawab dan penerimaan.
Filem ini mengisahkan tentang Bak Kai ialah seorang lelaki Buddha dari kawasan Isan yang jatuh cinta dengan Sophia, seorang gadis Muslim dari Pattani.
Demi cinta, Bak Kai sanggup memeluk Islam untuk mengahwini Sophia. Namun, abang Sophia, Bang Lee, menentang perkahwinan itu.
Dia tidak mahu adiknya mengulangi sejarah lama ibu mereka yang berkahwin campur dan akhirnya meninggalkan keluarga.
Walaupun cerita ini tentang konflik keluarga dan perbezaan agama, ia disampaikan dengan cara yang ringan dan kelakar.
Banyak babak lucu muncul apabila Bang Lee dan rakannya cuba menggagalkan majlis perkahwinan Sophia dan Bak Kai. Tindak-tanduk mereka yang mencuit hati membuatkan penonton tidak kering gusi.
Apa yang menarik tentang filem ini ialah suasana kampung di Selatan Thailand yang dipaparkan dengan cantik.
Penonton dapat melihat budaya masyarakat Islam di Pattani dan juga budaya masyarakat Isan.
Ada banyak elemen yang dekat dengan masyarakat Malaysia seperti masjid, makanan tradisional dan loghat tempatan.
Lakonan para pelakon juga sangat meyakinkan. Watak Bak Kai dibawa dengan baik sebagai lelaki yang jujur dan sanggup berkorban.
Sophia pula tenang dan matang. Bang Lee yang garang tetapi sebenarnya sayangkan adiknya memberi keseimbangan kepada cerita.
Watak-watak ini menjadikan filem lebih hidup dan senang difahami.
Secara keseluruhan, Isan Nikah ialah filem yang mudah ditonton, menghiburkan dan memberi pengajaran.
Ia sesuai untuk tontonan seisi keluarga dan pasti akan menyentuh hati ramai penonton di Malaysia.
Filem terbitan syarikat produksi Monwichit Entertainment ini diarahkan oleh Kriangkrai Monwichit, yang sebelum ini mencuri perhatian menerusi filem seram Islamik Khong Khaek.
Filem ini diedarkan di Malaysia oleh Empire Film Solution Sdn Bhd dan akan mula ditayangkan di Malaysia pada 17 Julai 2025.