Ikuti Kami:

Ulasan: ‘COLONY’ Saji Aksi Zombi Mendebarkan di Pencakar Langit Seoul

Ulasan: ‘COLONY’ Saji Aksi Zombi Mendebarkan di Pencakar Langit Seoul

Sepuluh tahun selepas fenomena filem thriller zombi pecah panggung Train To Busan, pengarah tersohor Korea Selatan, Yeon Sang-ho, kembali mewarnai layar perak menerusi naskhah seram terbaharunya berjudul COLONY.

Ditayangkan dalam slot berprestij Cannes Midnight di Festival Filem Cannes, filem berdurasi 122 minit ini membuktikan bahawa Yeon masih mempunyai formula ampuh dalam menghasilkan karya seram zombi yang menghiburkan, meskipun impaknya mungkin tidak seperti filem pertamanya itu.

Berlatarbelakangkan sebuah bangunan pencakar langit moden yang ikonik di tengah-tengah bandar raya Seoul, COLONY memulakan konfliknya apabila Young-chul (lakonan bintang Peninsula, Koo Kyo-hwan), seorang bekas pekerja bioteknologi yang kecewa kerana idea penyelidikannya dicuri, melancarkan serangan keganasan biologi.

Beliau melepaskan sejenis virus berbahaya yang menukarkan sesiapa sahaja yang dijangkiti menjadi makhluk ganas, mengerikan, dan pemakan manusia.

Sekatan (lockdown) ketat segera dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa ke atas bangunan tersebut. Keadaan menjadi lebih rumit apabila virus berkenaan hanya boleh dihentikan menggunakan antibodi yang ada dalam tubuh Young-chul sendiri.

Dalam situasi penuh panik, sekumpulan mangsa yang terselamat termasuk Profesor Se-jeong (Gianna Jun), pengawal keselamatan Hyun-seok (Ji Chang-wook) dan adik perempuannya yang lumpuh serta pakar IT, Hyun-hee (Kim Shin-rock) terpaksa bekerjasama untuk memburu Young-chul dan membawanya ke bumbung bangunan demi menyelamatkan diri.

Mengambil inspirasi daripada filem klasik George A. Romero, Dawn Of The Dead, Yeon bersama pengarah sinematografi, Byun Bong-sun, bijak memanipulasi ruang bangunan tinggi tersebut.

Dari kawasan pusat beli-belah yang luas hinggalah ke ruang pejabat, lif, dan ruang bawah tanah yang sempit serta berorientasikan unsur klaustrofobia, setiap babak diatur dengan komposisi warna dan sudut kamera yang memukau.

Zombi dalam COLONY juga tampil berbeza, tidak sekadar merangkak atau bergerak pantas, virus dalam filem ini memberikan mereka keupayaan ‘minda sarang’ (hive mind) di mana makhluk-makhluk ini boleh belajar, berevolusi, dan berkongsi maklumat satu elemen menarik yang mengingatkan penonton kepada siri popular The Last Of Us.

Bagaimanapun, bagi sebuah filem yang berdurasi lebih dua jam, COLONY dilihat sedikit meleret dalam beberapa fasa.

Berbeza dengan ketegangan tanpa henti dalam kereta api menerusi Train To Busan, ruang bangunan yang besar dalam filem ini memberi banyak tempat untuk karakter manusia bersembunyi.

Ini mengakibatkan wujudnya babak perbincangan strategi yang agak panjang, yang malangnya gagal disokong oleh pembangunan karakter yang mendalam.

Watak Profesor Se-jeong (Gianna Jun) dilihat sekadar berfungsi sebagai penyampai eksposisi, manakala kemunculan sekumpulan watak remaja dalam filem ini lebih kepada mencetuskan keputusan bodoh bagi meningkatkan elemen bahaya.

Mujurlah, dinamika hubungan adik-beradik antara Hyun-seok dan Hyun-hee berjaya memberikan sedikit suntikan emosi dan simpati yang diperlukan bagi menggerakkan jiwa filem ini.

Yeon turut cuba menyuntik kritikan sosial moden mengenai kebimbangan terhadap pengawasan (surveillance), trauma pasca-pandemik, dan penularan maklumat palsu yang bertindak seperti “virus” dalam masyarakat hari ini.

Sungguhpun idea-idea bernas ini tidak diteroka secara mendalam dan sekadar menjadi latar hiasan, ia tetap menambah rempah kepada plot utama.

Namun, dengan aksi koreografi yang pantas, kesan khas yang mengerikan, dan barisan pelakon gred-A Korea Selatan, filem ini menjanjikan kepuasan tontonan yang maksimum terutamanya bagi peminat tegar genre seram zombi.

COLONY sudah mula menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 22 Mei ini.