Ulang tahun ke-23: Andalusia Teguh Pelihara Amanah Santuni Tetamu Allah
- oleh MDaily Editor
- 2 Jan 2026 9:59 pm
Program JIMBA Finale 2025 anjuran Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) mencatatkan sejarah tersendiri apabila berjaya menghimpunkan lebih 11,000 peserta secara fizikal di seluruh negara, baru-baru ini.
Acara yang diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-23 syarikat itu bukan sekadar meraikan pencapaian korporat, malah menjadi platform memperkukuh ukhuwah dalam kalangan jemaah menerusi semangat kebersamaan dan integriti.
Pengarah dan Penasihat Undang-undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, fasa baharu syarikat kini bukan sekadar menutup kalendar tahunan, tetapi menjadi azam untuk memartabatkan khidmat kepada ‘Duyufur Rahman’ (tetamu Allah).

“Apabila jam berdetik meninggalkan 2025, saya mahu kita semua membawa satu azam bersama bahawa kita tidak akan menjadi biasa-biasa dan tidak akan berkompromi dengan amanah sehingga 30 hingga 50 tahun akan datang.
“Kita tidak akan takut untuk sentiasa berfikir lebih besar daripada ini asalkan niat kita betul untuk menyantuni tetamu Allah. Insya-Allah, apa yang kita bawa ini adalah untuk kebaikan umat secara keseluruhan,” katanya ketika berucap pada kemuncak program di Darul Muttaqin Home, di sini.
Turut hadir, Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Haji Md Daud Che Ngah dan Pengarah Urusan Andalusia, Haji Ibrahim Mat Sin.
Majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran Majalah AndalusiaKu 1448H (2026/2027) yang memuatkan pelbagai inspirasi perjalanan umrah serta perkongsian kisah jemaah.
Mengulas mengenai hala tuju syarikat, Ida Riswana menjelaskan Andalusia merancang untuk memperluas capaian jemaah sehingga 80,000 orang melalui kesinambungan pertandingan JIMBA yang dijadualkan berlangsung sehingga tahun 2035.

Malah, bermula suku pertama 2026, Andalusia bakal memperkenalkan kiosk layan diri secara berfasa bagi memudahkan urusan pelanggan termasuk pembayaran dan cetakan resit fizikal, dengan ujian rintis pertama dijangka bermula di Lembah Klang pada Mac depan.
Sementara itu, kemuncak acara menyaksikan seorang peniaga kecil dari Gua Musang, Kelantan, Rakiah Sulaiman, diumum sebagai pemenang utama cabutan bertuah Bonanza JIMBA.

Kemenangan tersebut membolehkan beliau membawa pulang sebuah kereta elektrik, BYD Sealion 7, sekali gus melengkapkan kegembiraan buat keluarganya yang hadir mewakili beliau di Kuala Lumpur.
“Kami sekadar menemani, tetapi tidak sangka rezeki Allah datang. Rasa seperti doa emak dimakbulkan dan rezeki itu sampai kepada orang yang telah ditetapkan-Nya,” kata anak pemenang, Nur Liyana Othman.
Selain hadiah utama, program JIMBA Finale 2025 yang mencatatkan penyertaan keseluruhan melebihi 17,000 orang itu turut menawarkan pelbagai hadiah menarik dan tawaran eksklusif pakej pelancongan sebagai menghargai sokongan jemaah setia di seluruh Malaysia.




