Ikuti Kami:

ULA SUPER 8 Platform Aaron Aziz Bantu Belia Atasi Buli dan Masalah Mental

ULA SUPER 8 Platform Aaron Aziz Bantu Belia Atasi Buli dan Masalah Mental

Dalam usaha memerangi budaya buli dan meningkatkan kesedaran kesihatan mental dalam kalangan belia, pelakon tersohor Dato’ Aaron Aziz melancarkan kejohanan ULA SUPER 8 MMA CHAMPIONSHIP 2025 yang akan membuka tirai pada 3 Ogos ini di Shah Alam.

Di sebalik aksi seni tempur yang mendebarkan, kejohanan ini membawa misi sosial yang mendalam dengan memberi peluang kedua kepada mereka yang pernah tersasar dan membuka jalan untuk masa depan lebih baik.

Menerusi platform United Lair of Arts (ULA), Aaron mahu memartabatkan sukan tempur tempatan dan menjadikan gelanggang MMA sebagai ruang pemulihan, pembinaan jati diri serta peluang untuk belia bangkit daripada pengalaman pahit seperti buli dan tekanan mental.

“Ramai dari kalangan kita yang terpaksa keluar negara untuk dikenali. Saya nak ubah perkara itu. Kita bawa negara luar datang ke sini dan dalam masa yang sama, beri peluang untuk mereka dilihat bukan hanya sebagai atlet, tetapi juga pelakon aksi dan individu berbakat,” kata Aaron.

Aaron atau Aaron Mustapha bin Aziz, 49, turut menjelaskan bahawa minatnya terhadap seni bela diri telah lama berputik dan menjadi asas kepada penubuhan ULA.

“Memang daripada dulu saya suka sukan tempur ni. Dan satu sebab kenapa saya tubuhkan United Lair Arts, selain daripada minat, saya nak menggalakkan keluarga, ibu bapa untuk bawa anak-anak belajar satu seni pertahanan diri untuk melindungi diri.

“Sebab banyak sangat kes buli kat sekolah, tempat kerja, malah dalam kem tentera sekalipun. Ini soal hidup dan mati juga,” jelas Aaron.

Beliau turut berkongsi pengalaman membantu pelajar yang dibuli dan menyaksikan sendiri bagaimana latihan seni bela diri mampu membina semula keyakinan dan semangat mereka.

“Saya pernah turun sendiri ke sekolah bagi semangat kepada pelajar yang dibuli, dan galakkan mereka belajar Muay Thai atau tinju. Alhamdulillah sampai sekarang ada ibu bapa yang ucap terima kasih, sebab anak mereka berjaya bangkit semula,” katanya.

Kejohanan ULA SUPER 8 MMA CHAMPIONSHIP 2025 akan menyaksikan lapan peserta utama dari Malaysia, Dagestan, Afghanistan, United Kingdom, Thailand dan Brunei. Ia berlangsung dalam tiga pusingan iaitu suku akhir pada Ogos, separuh akhir pada September dan final pada Oktober.

Selain pertarungan utama, acara turut menampilkan 5 perlawanan MMA profesional, 5 pertarungan tinju amatur dan 8 pertarungan Muay Thai.

Setiap acara juga menawarkan cabutan bertuah kepada penonton dengan hadiah termasuk RM200 tunai dan motosikal elektrik tajaan GGR.

Juara keseluruhan akan membawa pulang RM20,000, tali pinggang kejohanan serta dilantik sebagai duta rasmi ULA. Finalis dan naib juara turut menerima ganjaran tunai.

Aaron turut mendedahkan bahawa ramai peserta datang dari latar belakang unik termasuk remaja autistik berusia 11 tahun yang telah menyertai 45 pertarungan dan menang 15 daripadanya secara berturut-turut.

“Tak sangka ada petarung tempatan macam ni. Tapi mereka tak pernah diberi platform. Saya nak ubah perkara itu,” katanya.

Selain itu, Aaron kini dalam proses menghasilkan filem aksi tempatan dan sedang membangunkan program latihan pelakon aksi bersama FINAS menggunakan peserta MMA sebagai pelakon utama.

“Saya akan buat satu filem aksi dan saya perlukan pelakon-pelakon yang ada latar belakang seni bela diri. Saya tengah bangunkan bengkel aksi. Kita tak ada lagi ikon aksi macam Jackie Chan atau Iko Uwais. Kita kena mula dari bawah dan lahirkan ikon sendiri,” jelas beliau.

Kejohanan ini turut berganding bahu dengan MIASA dalam kempen sosial “Bully Proof” dengan slogan “Silence Is Not Weakness. We Hear Your Silence” untuk mengangkat suara belia yang terkesan dengan isu buli dan tekanan mental.

Aaron juga mengesahkan sokongan rasmi daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui surat yang ditandatangani sendiri oleh Menteri YB Hannah Yeoh.

“Saya harap final nanti kita boleh buat besar-besaran dengan kerjasama kerajaan. Sebab ini bukan sekadar kejohanan. Ini peluang untuk ubah hidup seseorang,” ujar Aaron

Ikuti @unitedlairofarts di Instagram dan @united.lair.of.ar di TikTok untuk info terkini.

Komen
Loading...