UiTM Perkasa Wartawan Muda dengan ‘Journalist’s Lens’: Tumpuan Kisah Komuniti Terpinggir di e-Kolokium Kewartawanan ke-52
- oleh MDaily Editor
- 15 Dec 2025 2:17 pm
Universiti Teknologi MARA (UiTM) meneruskan komitmennya dalam melahirkan generasi wartawan berkepekaan sosial melalui penganjuran e-Kolokium Kewartawanan ke-52 yang dianjurkan secara maya.
Program anjuran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) ini mengangkat tema yang signifikan, “Journalist’s Lens: Unspoken Stories from Community,” dengan memberi fokus utama kepada naratif komuniti yang sering terpinggir daripada liputan media arus perdana.
Dekan FKPM, Profesor Madya Dr Abd Rasid Abd Rahman, menjelaskan e-Kolokium ini bukan sekadar platform untuk pelajar akhir membentangkan hasil kerja akademik mereka, tetapi juga sebagai ruang wacana ilmiah bertemu dengan keperluan industri.
“E-Kolokium ini berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan teori akademik dengan realiti industri. Ia mencerminkan nilai teras kewartawanan dan memastikan graduan kami bersedia untuk menyumbang secara profesional dengan etika dan empati,” katanya.

Program ini menampilkan dua tokoh ternama dalam industri kewartawanan tempatan, iaitu Pengarang Sinar Harian, Junhairi Alyasa, dan Wartawan Multimedia Media Prima Berhad, Fareez Azman, yang dikendalikan oleh Wartawan Penyiaran Astro Awani, Farhan Hakimi.
Fareez Azman menekankan bahawa tema ‘Unspoken Stories’ sangat dekat dengan pengamal media kerana ia meliputi pelbagai kisah penting, termasuk golongan susah, isu kesihatan mental, penyakit pelik, dan persoalan kanak-kanak tanpa kewarganegaraan.
“Apabila kita masuk ke bidang yang lebih mendalam, setiap perkara membawa kepada ‘unspoken stories’ yang lebih besar. Rakyat Malaysia, terutamanya di kawasan pedalaman, memiliki kisah yang mencabar wartawan untuk mengubah sesuatu yang tidak diketahui kepada diketahui, dengan matlamat membantu masyarakat,” ujar Fareez.
Beliau turut menasihatkan wartawan muda untuk memiliki minat yang mendalam dan kesungguhan, serta peka terhadap gaya penyampaian berita masa kini yang ringkas dan padat, seperti format video ‘explainer’ di TikTok.

Sementara itu, Junhairi Alyasa menggariskan tiga elemen penentu keutamaan berita: human interest, impak kepada masyarakat, dan isu komuniti.
Beliau turut menegaskan tentang kepentingan integriti dan pematuhan undang-undang kewartawanan seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.
“Wartawan mesti menjaga integriti dengan mematuhi garis panduan penulisan. Selain itu, mereka perlu banyak membaca, peka isu semasa, dan menguasai asas kewartawanan seperti sudut berita dan gaya penulisan,” tegas beliau.
Junhairi turut menyentuh peranan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam bilik berita. Walaupun AI mampu mempercepatkan kerja, beliau mengingatkan bahawa semakan fakta oleh wartawan adalah wajib untuk menjaga kredibiliti media dan mengelak penyebaran maklumat yang tidak tepat.

Ketua Projek e-Kolokium Kewartawanan, Haikal Mohd Nor Azmi, berkata program ini adalah kemuncak perjalanan pembelajaran pelajar tahun akhir yang menguji kemampuan mereka untuk berfikir secara kritis, beretika, dan berempati.
Program berdurasi tiga jam ini berjaya menarik penyertaan lebih daripada 205 pelajar UiTM Shah Alam dan 910 penonton melalui platform YouTube Live, termasuk penglibatan dari Universiti Budi Luhur Indonesia.
Penganjuran e-Kolokium ke-52 ini jelas membuktikan komitmen UiTM dalam memperkasa pendidikan kewartawanan dengan menggabungkan pendekatan holistik teori, praktikal, dan pengalaman industri.




