Pelakon dan pelawak terkenal, Ebby Yus, atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid, 59, menyifatkan kunjungan dan sokongan daripada keluarga, rakan-rakan, serta peminat sebagai “ubat paling mujarab” yang menguatkannya dalam menghadapi komplikasi penyakit buah pinggang.
Menurut Ebby, sejak keluar dari hospital, ramai individu hadir memberikan sokongan moral dan bantuan, termasuk mereka yang tidak dikenalinya.
“Saya sangat bersyukur kerana sejak saya keluar hospital, ramai datang membantu. Selain keluarga, kawan-kawan, dan peminat, ada juga orang luar yang saya tidak kenal pun datang menziarahi. Itu sebenarnya adalah ubat yang paling berharga buat saya,” katanya selepas sidang media “Malam Silaturahim” pada Selasa.
Dalam temubual yang sama, Ebby memaklumkan bahawa kesihatannya kini menunjukkan peningkatan. Beliau menjalani rawatan mencuci buah pinggang menggunakan kaedah “cuci air” di rumah sebanyak dua kali sehari, dan hanya ke hospital untuk rawatan tambahan apabila perlu.
“Alhamdulillah, keadaan semakin baik. Saya perlu memastikan tekanan darah stabil dan paras darah merah seimbang. Jadi, saya masih perlu mendapatkan rawatan susulan,” katanya.
Meskipun ada beberapa individu menawarkan buah pinggang untuk membantunya, Ebby menolak dengan rendah hati kerana enggan menyusahkan orang lain.
“Memang sudah ada tiga orang yang menawarkan, malah ada yang datang ke rumah. Tapi, saya berdoa kepada Allah agar diberi kesembuhan tanpa menyusahkan sesiapa,” jelasnya.
Walaupun sedang berehat, Ebby tetap optimis untuk kembali ke dunia seni jika diizinkan Allah. Baginya, lakonan dan komedi adalah sebahagian daripada hidupnya.
“Kalau ada tawaran yang sesuai dengan keadaan saya, insya-Allah saya akan pertimbangkan. Tetapi buat masa ini, saya perlu utamakan kesihatan dahulu,” katanya.
Konsert “Malam Silaturahim” anjuran HS Event & Entertainment Sdn. Bhd yang bakal menyatukan 12 artis legenda tanah air yang akan diadakan di Dewan Merdeka, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC KL) pada 25 December depan.
Penganjur turut memberi sumbangan kepada 20 orang penerima, antaranya adalah Ali XPDC, Syah Nizam Ahmad Shamsi (Along Jinbara), Salim Ibrahim (Dr. Sam) dan Muhammad Yunus Abdul Rashid (Ebby Yus), selain beberapa nama besar lain dalam industri seni.