Ikuti Kami:

Two Door Cinema Club Bakal Gegarkan Kuala Lumpur Ogos Ini

Two Door Cinema Club Bakal Gegarkan Kuala Lumpur Ogos Ini

Kumpulan indie rock terkenal dari Ireland Utara, Two Door Cinema Club, bakal kembali menghangatkan pentas Malaysia menerusi konsert Two Door Cinema Club 15th Anniversary Tour yang dijadualkan berlangsung pada 19 Ogos ini.

Konsert berskala besar itu akan diadakan di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, yang bakal menyaksikan kumpulan tersebut mempersembahkan album ikonik mereka, Tourist History, secara penuh buat julung kalinya di negara ini.

Menurut kenyataan penganjur Faded Youth MY, konsert itu bukan sekadar persembahan biasa, malah ia merupakan satu sambutan nostalgia, tenaga muda dan memori era indie 2010-an yang pernah membentuk identiti muzik ramai peminat tempatan.

“Two Door Cinema Club mempunyai pengikut yang sangat kuat di Malaysia. Konsert ini bukan hanya tentang membawa sebuah band antarabangsa ke Kuala Lumpur, tetapi tentang meraikan satu era muzik yang dekat dengan ramai peminat.

“Kami percaya malam ini akan menjadi antara konsert indie antarabangsa paling dinantikan pada tahun ini,” kata wakil penganjur dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Sementara itu, Two Door Cinema Club yang dianggotai oleh Alex Trimble, Sam Halliday, dan Kevin Baird meluahkan rasa teruja mereka untuk kembali menemui peminat di Malaysia selepas sekian lama.

“Album Tourist History (yang dilancarkan pada 2010) adalah karya yang mengubah perjalanan kami sebagai sebuah band. Membawakan album ini semula secara penuh di hadapan peminat adalah sesuatu yang sangat bermakna, apatah lagi selepas sekian lama kami tidak kembali ke Kuala Lumpur,” kata kumpulan itu.

Selain rangkaian lagu daripada album berkenaan seperti What You Know, Something Good Can Work, dan Undercover Martyn, peminat juga boleh menjangkakan persembahan beberapa lagu hit lain yang telah membina katalog muzik band ini sepanjang lebih sedekad.

Tiket-tiket ditawarkan melalui tiga kategori utama iaitu Rock Zone pada harga RM280, Cat 1 (RM320), Cat 2 (RM240) dan akan mula dijual secara rasmi esok, 23 Mei 2026, bermula jam 10 pagi menerusi platform Ticket Empire.