TVS Perkukuh Visi Nasional, Angkat Identiti Borneo Ke Peringkat Serantau
- oleh MDaily Editor
- 2 Oct 2025 12:36 pm

TV Sarawak (TVS), stesen televisyen pertama dari Bumi Kenyalang yang kini melangkah ke persada nasional, terus memperkukuh kedudukannya sebagai platform penyiaran dinamik dengan menjadikan identiti Borneo sebagai teras utama kandungan.
Menerusi sidang media eksklusif “TVS Spotlight 25/26”, stesen ini mendedahkan hala tuju 2026 yang memberi fokus kepada usaha memperluaskan capaian ke seluruh Malaysia dan seterusnya rantau ASEAN.
Langkah ini dipacu dengan pengenalan kandungan baharu serta strategi penajaan menyeluruh.
Pengerusi dan Presiden TVS/Sarawak Media Group (SMG), Dato’ Norhyati Ismail, menegaskan TVS mahu menjadi saluran yang bukan sahaja mencerminkan budaya dan identiti Borneo, malah mampu bersaing di pentas serantau.
“Matlamat kami adalah memperkukuh visi nasional dengan memperkenalkan kandungan segar yang mengangkat warisan tempatan, sambil memperluaskan capaian ke seluruh Malaysia dan rantau ini. Kami yakin dengan kerjasama rakan strategik, TVS mampu melangkah lebih jauh,” katanya.
Tahun 2026 bakal menyaksikan TVS memperkenalkan pelbagai kandungan termasuk Gerak Khas 2.0, drama bersiri, rancangan realiti, dokumentari dan liputan langsung acara sukan antarabangsa seperti Sukan SEA, aksi Harimau Malaya dan Piala Carabao.
Dato’ Norhyati berkata, usaha ini menandakan peralihan TVS daripada sekadar saluran negeri kepada medium nasional yang mampu bersaing dengan stesen arus perdana lain.
Dato Yusuf Haslam & En Jamal Bin Abdullah (Head Of Creative Content, Sarawak Media Group Sdn Bhd)
Walaupun memperluaskan capaian, TVS tetap mengekalkan budaya dan identiti Borneo sebagai keunikan tersendiri. Program seperti Sarawak Regatta dan Sambutan Gawai menjadi medium untuk memperkenalkan tradisi tempatan kepada khalayak lebih luas.
“Melalui TVS, warisan tempatan bukan sahaja diraikan, malah dijadikan jambatan untuk menghubungkan penonton dari pelbagai latar budaya,” tambah beliau.
Bagi memenuhi keperluan pengiklan, TVS memperkenalkan pakej penajaan menyeluruh (360°) yang melibatkan platform televisyen, digital, sosial serta papan iklan LED. Usaha ini diperkukuh dengan kolaborasi bersama Suara Sarawak, Sarawak Tribune dan Cats FM.
“Jenama anda akan hadir di setiap skrin dari rumah hingga ke jalan raya. Inilah kekuatan penajaan 360° TVS,” jelas Dato’ Norhyati.
Sehingga kini, lebih 300 vendor tempatan telah bekerjasama dengan TVS, mewujudkan lebih 3,000 peluang pekerjaan dalam sektor kreatif. Ini seiring dengan visi TVS untuk menjadi pemangkin pembangunan industri seni dan pengiklanan negara.
Dengan penonton sasaran dari Perlis hingga Sabah, TVS yakin mampu memperkukuh kedudukan sebagai salah satu pemain utama industri penyiaran negara, di samping memperluaskan pengaruh ke peringkat serantau melalui kekuatan digital.