Ikuti Kami:

TVS Perkukuh Kedudukan Penyiar Nasional, Pertaruhkan Kandungan Segar Aidilfitri

TVS Perkukuh Kedudukan Penyiar Nasional, Pertaruhkan Kandungan Segar Aidilfitri

TVS terus memperkukuh komitmennya sebagai penyiar nasional yang dinamik dengan memperkenalkan Pesta Raya TVS serta barisan kandungan khas sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Langkah strategik itu merangkumi pelancaran pelbagai drama bersiri popular dan program khas yang dirangka khusus untuk memenuhi cita rasa penonton di seluruh negara, sekali gus memantapkan penjenamaan stesen berkenaan dalam industri penyiaran tempatan.

Ketua Saluran TVS, Encik Mohd Aizal Ibrahim, berkata pengenalan kandungan terbaru itu adalah sebahagian daripada perancangan strategik TVS untuk menawarkan rancangan yang segar, relevan, dan dekat di hati penonton daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“TVS sentiasa komited untuk membawakan kandungan yang bukan sahaja menghiburkan, malah bermakna sebagai medium penceritaan yang mencerminkan realiti, nilai kekeluargaan, serta kepelbagaian budaya masyarakat,” katanya pada Sidang Media Rancangan TVS 2026 di Kuala Lumpur, hari ini.

Antara tarikan utama yang dinantikan ialah drama aksi ikonik, “Gerak Khas 2.0”, yang bakal menemui penonton mulai 23 April 2025. Diterajui oleh Datuk Yusof Haslam, naskhah ini menjanjikan jalan cerita yang lebih mencabar dengan kualiti produksi yang dipertingkatkan.

Selain itu, TVS turut mempertaruhkan drama “Siti in the City” yang dibintangi oleh barisan pelakon popular seperti Sweet Qismina dan Adam Lee, serta drama “Halalkan Aku” yang mengupas konflik kekeluargaan pada Jun 2026.

Turut membarisi slot drama ialah “Boneka” dan sebuah naskhah bertemakan jenayah siber, “The Trap”, yang menampilkan pelakon Shaza Bae dan Aidit Noh.

Bagi memeriahkan suasana Syawal, Pesta Raya TVS akan menyajikan rangkaian program signature termasuk musim kedua 3 Mak Dara yang menampilkan gandingan mantap Raja Azura, Rita Rudaini, dan Sharifah Shahora.

Program lain yang turut disenaraikan ialah Inspirasi Duniamu & Pesta Raya, Istimewa Anggun: Seri Aidilfitri, serta filem pendek dan video muzik bertajuk Raya Paling Epik.

Menurut Mohd Aizal, pengukuhan peranan TVS sebagai penyiar nasional akan diteruskan melalui kolaborasi strategik bersama penggiat seni tempatan dan pemanfaatan platform digital secara menyeluruh.

Komen
Loading...