TV AlHijrah Tutup Tirai 2025 Dengan Agenda Dakwah ‘Bergerak’ di Lapangan
- oleh MDaily Editor
- 11 Dec 2025 6:41 pm
Stesen televisyen berkonsepkan gaya hidup Islam, TV AlHijrah, mengakhiri siaran 2025 dengan pelbagai pencapaian membanggakan, di samping bersedia melangkah ke 2026 dengan tekad memperluas capaian dan memperhebat agenda dakwah di lapangan secara fizikal.
Stesen ini berjaya menghasilkan karya yang lebih matang, meneroka program baharu pelbagai format serta memperkukuh peranannya sebagai penyiar Islam yang memikul amanah pendidikan dan pencerahan untuk rakyat Malaysia.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, stesen berkenaan telah mencatat pelbagai perkembangan positif sepanjang tahun 2025, membuktikan bahawa kandungan Islamik berkualiti sentiasa mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, termasuk penerimaan kukuh terhadap kandungan digital.
Sebagai penutup tirai tahun yang cemerlang, TV AlHijrah mempersembahkan lima program berimpak tinggi yang menggabungkan elemen ilmu spiritual, pengiktirafan seni, dan hiburan santapan jiwa, khas buat penonton setia.
Program kemuncak utama ialah Konsert Malam Hijrah Bergema yang akan diadakan buat julung kalinya di Putrajaya International Convention Centre (PICC) pada ambang tahun baharu, 31 Disember 2025.

Konsert ini menyatukan irama nasyid, zikir dan semangat hijrah serta menampilkan nama besar seperti Rabbani, Raihan, Inteam, UNIC, serta penyanyi legenda Datuk Hattan, Dato’ Jamal Abdillah, dan Dato’ Nash.
Namanzee menjelaskan, konsert ini adalah buah tangan istimewa YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, sebagai usaha untuk menyediakan landasan alternatif kepada masyarakat.

“Kita merasakan sebagai TV Islamik, kita ada satu landasan alternatif kepada anak muda, kepada masyarakat. Sebaliknya, diorang keluar tanpa hala, atau diorang mencari hiburan lain yang kadang-kadang tidak sesuai dengan nilai-nilai sebagai orang Islam,” katanya dalam Sidang Media hari ini.
Konsert tersebut didahului dengan pengisian ilmu spiritual, Konvensyen Assalamualaikum: Perjalanan Menuju Kepada-NYA serta Bengkel Solat di PICC pada 30 Disember.

“Kita rasakan umat Islam hari ini, isu asas ni adalah solat. Itu yang kita kata bila kita nak buat konsert akhir tahun, kita nak adakan juga sekali bengkel spiritual. Kita nak memperbaiki solat,” jelas Namanzee.
Acara yang melibatkan tokoh-tokoh terkemuka seperti Ustazah Muzayyanah Abdullah dan Ustaz Dr. Haji Nur Mohammad Hadi Zahalan.
Selain acara lapangan, TV AlHijrah turut menyajikan Program Anugerah Carta 114 Musim Ketiga yang disiarkan secara langsung pada 27 Disember, sebagai pengiktirafan kepada karya muzik Islamik terbaik.
Di platform digital, penonton disajikan dengan Program Tenang Sekejap program gaya hidup Islamik santai dan tayangan eksklusif lima telefilem terbaik Disember di aplikasi AlHijrah Plus (AH+), menampilkan pelakon ternama yang membuktikan dakwah boleh disampaikan melalui visual yang berkualiti tinggi.
Melangkah ke 2026, Namanzee Harris menegaskan TV AlHijrah bertekad untuk menjadi sebuah gerakan masyarakat, bukan sekadar stesen televisyen, dengan memperluas capaian dan kembali aktif secara fizikal di lapangan.
Antara perancangan utama tahun hadapan termasuk pengisian di masjid, institusi pendidikan, dan penganjuran Karnival Hijrah 2026. TV AlHijrah mengakhiri 2025 dengan penuh syukur dan optimisme, bersedia melangkah ke 2026 dengan impak yang lebih mendalam kepada masyarakat.




